TERKINI
BERAPA LAGI NYAWA PERLU JADI MANGSA?" – ADUN MEROTAI KECEWA TIADA PENYELESAIAN KEKAL
Infra & Keselamatan Jalan Raya 2 min baca 470 tontonan

BERAPA LAGI NYAWA PERLU JADI MANGSA?" – ADUN MEROTAI KECEWA TIADA PENYELESAIAN KEKAL

Ringkasan

ADUN N.72 Merotai, Sarifuddin Hata menegaskan bahawa isu Jalan Merotai-Kalabakan bukanlah masalah baharu kerana telah berulang kali dibangkitkan di Dewan Undangan Negeri Sabah dan kepada kementerian berkaitan. Beliau berkata rakyat masih berdepan jalan rosak, berlubang dan cerun runtuh walaupun pelbagai lawatan serta janji penyelesaian telah dibuat, sekali gus menuntut tindakan menyeluruh demi keselamatan pengguna.

Admin
Admin
TAWAU – Keadaan Jalan Merotai-Kalabakan yang terus rosak dan membahayakan pengguna jalan raya menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk setempat yang telah sekian lama bergantung kepada laluan tersebut sebagai nadi perhubungan utama.

ADUN N.72 Merotai, Sarifuddin Hata berkata jalan berkenaan bukan sahaja digunakan oleh penduduk untuk urusan harian, malah menjadi laluan penting pekerja mencari rezeki serta petani dan pekebun membawa hasil mereka.

Namun menurut beliau, selama bertahun-tahun rakyat terpaksa berdepan keadaan jalan yang berlubang, tidak rata, rosak serta sering terdedah kepada ancaman tanah runtuh yang boleh mengundang risiko kemalangan.

“Masalah ini bukan perkara baharu. Saya telah berkali-kali membangkitkan isu Jalan Merotai-Kalabakan di Dewan Undangan Negeri Sabah,” katanya.

Beliau berkata isu tersebut bukan sahaja dibangkitkan dalam persidangan dewan, malah turut disampaikan secara langsung kepada kementerian dan pihak yang bertanggungjawab melalui pelbagai saluran.

Menurutnya, lawatan demi lawatan telah dilakukan, gambar kerosakan telah dirakam dan pelbagai kenyataan telah dikeluarkan, namun rakyat masih belum melihat penyelesaian menyeluruh yang benar-benar dapat mengatasi masalah tersebut.

Beliau berkata pengguna jalan raya masih terpaksa mengelak lubang yang sama dan melalui kawasan cerun runtuh yang sama walaupun pelbagai janji penambahbaikan telah diberikan.

Sarifuddin turut menyifatkan kemalangan yang dilaporkan berlaku di kawasan berisiko tersebut sebagai sesuatu yang amat membimbangkan kerana lokasi berkenaan telah lama dikenal pasti sebagai kawasan yang memerlukan tindakan segera.

“Sejak sekian lama saya bersuara di Dewan Negeri berhubung dengan keadaan Jalanraya Merotai Kalabakan. Saya sudah nyatakan kebimbangan saya soal keselamatan pengguna Jalan Raya yang melalui Jalan berlubang dan tanah runtuh sepanjang Jalan Merotai Kalabakan. ” katanya.

Menurut beliau, persoalan utama yang perlu dijawab oleh kerajaan hari ini bukan lagi sama ada mereka mengetahui masalah tersebut atau tidak, kerana isu itu telah lama diketahui dan pernah dilawati sendiri oleh pihak berkuasa.

Sebaliknya, beliau berkata rakyat mahu mengetahui mengapa selepas bertahun-tahun, masalah yang sama masih terus berulang tanpa penyelesaian yang berkesan.

“Sampai bila rakyat menggadaikan nyawa kerana keadaan jalan raya yang semakin hari semakin teruk dan tidak di ambil peduli oleh Kerajaan GRS ?” katanya.

Beliau menegaskan bahawa rakyat tidak meminta projek mega atau kemewahan, sebaliknya hanya mahukan sebuah jalan raya yang selamat dan boleh digunakan tanpa rasa takut.

“Saya berasa amat kesal, Menteri JKR silih berganti, Lawatan demi Lawatan di buat, janji demi janji oleh Kerajaan GRS, namun sehingga hari ini masih tiada tindakan. ” katanya.

Jumpa kesilapan (terjemahan, makna atau ejaan)? Bantu kami dengan melaporkan.

Admin
Penulis

Admin

Admin Warisan Portal bertanggungjawab mengurus dan menerbitkan kenyataan media, artikel serta maklumat rasmi Parti Warisan kepada orang awam.

Komen (0)

Jadilah yang pertama memberikan komen!

Sila log masuk untuk meninggalkan komen.

Log Masuk