KOTA KINABALU: Pejabat ADUN N19 Likas telah menerima aduan berkaitan operasi sebuah kilang membuat bahan konkrit yang didakwa beroperasi tanpa permit di atas tanah kerajaan berhampiran bangunan kondominium Pasificity Likas sejak beberapa bulan lalu.
Aduan tersebut telah dipanjangkan kepada Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK). Namun sehingga kini, tiada sebarang maklum balas rasmi secara bertulis diterima daripada pihak berkuasa tempatan.
Setakat ini, pihak pengadu hanya dimaklumkan secara lisan bahawa tiada permit dikeluarkan bagi operasi kilang tersebut.
Sehubungan itu, memandangkan tiada jawapan atau tindakan yang jelas daripada pihak berkuasa tempatan, hari ini Tham Yun Fook selaku ADUN N19 Likas bersama pegawai khas Pejabat ADUN N19 Likas telah turun ke tapak kilang membuat bahan konkrit tersebut bagi meninjau sendiri keadaan sebenar.
Turut hadir ialah Ahli Majlis Tertinggi Parti Warisan merangkap peguam parti, Chen Ket Chuin (KC Chen), serta pengadu utama Datuk Robert Foo.
Menurut Datuk Robert Foo, beliau telah berulang kali membuat aduan kepada DBKK dan Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) berhubung operasi kilang tersebut serta memiliki pelbagai bukti berkaitan aduan yang dikemukakan.
Namun begitu, syarikat terbabit didakwa masih meneruskan operasi seperti biasa sehingga kini.
Beliau turut memohon agar pihak ADUN Likas memberikan perhatian serius terhadap perkara itu kerana operasi kilang berkenaan didakwa menyebabkan pencemaran udara selain menimbulkan gangguan kepada penduduk sekitar kawasan tersebut.
Selain itu, beliau turut merujuk kepada surat notis amaran yang dikeluarkan oleh Jabatan Tanah dan Ukur bertarikh 4 Julai 2022 yang mengarahkan syarikat berkenaan mengosongkan tapak tersebut kerana ia merupakan tanah kerajaan.
Dalam pada itu, KC Chen berkata kehadiran beliau bersama ADUN Likas ke lokasi adalah bagi mendapatkan kepastian sama ada aduan yang dikemukakan oleh pengadu adalah berasas atau sebaliknya.
Beliau turut berharap agar DBKK dan JTU dapat tampil menyelaraskan serta menyelesaikan isu tersebut dengan kadar segera demi kepentingan awam.
Menurut beliau, perkara itu juga penting bagi memastikan tiada mana-mana pihak yang boleh melangkaui undang-undang serta menggunakan tanah kerajaan tanpa tindakan sewajarnya daripada pihak berkuasa berkaitan.