KOTA KINABALU – ADUN N.19 Likas, Tham Yun Fook berkata Sabah yang kaya dengan sumber semula jadi tidak sepatutnya terus berdepan masalah asas yang telah berlarutan sekian lama, khususnya gangguan bekalan air yang berulang di pelbagai kawasan termasuk ibu negeri.
Menurut beliau, keadaan tersebut amat berbeza dengan beberapa negeri lain yang telah menikmati pembangunan infrastruktur moden walaupun tidak mempunyai hasil petroleum seperti Sabah.
“Johor yang tidak mempunyai sumber petroleum seperti Sabah kini menikmati kemudahan pengangkutan moden melalui perkhidmatan Electric Train Service (ETS), sedangkan Sabah masih bergelut dengan masalah bekalan air yang berulang sehingga menjejaskan kehidupan harian rakyat,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata kawasan DUN Likas termasuk sekitar Suria Sabah, Wisma Merdeka, hotel-hotel utama dan kawasan berhampiran turut terjejas akibat masalah bekalan air yang berpanjangan.
Menurutnya, gangguan berulang tersebut bukan sahaja menjejaskan kesejahteraan rakyat, malah turut mencalar imej Sabah di mata pelancong dan pelabur.
“Lebih memalukan apabila pengunjung dari luar Sabah yang hadir untuk pertandingan peringkat kebangsaan, urusan rasmi atau tujuan pelancongan terpaksa berdepan kesukaran mendapatkan bekalan air untuk keperluan asas seperti mandi dan menggunakan tandas di pusat penginapan serta pusat membeli-belah,” katanya.
Tham berkata Sabah tidak pernah kekurangan sumber dan hasil, namun rakyat mengharapkan keutamaan yang lebih jelas diberikan kepada pembangunan dan penyelenggaraan infrastruktur asas yang memberi manfaat langsung kepada kehidupan mereka.
Sehubungan itu, beliau berharap peruntukan interim sebanyak RM1.5 bilion yang diumumkan Perdana Menteri untuk Sabah dapat dimanfaatkan sepenuhnya bagi menaik taraf infrastruktur kritikal di negeri ini.
Katanya, antara keutamaan yang perlu diberikan perhatian ialah penggantian paip-paip usang, pengurangan kadar kehilangan air tidak berhasil (NRW), peningkatan kapasiti sistem bekalan air serta kerja-kerja penyelenggaraan dan penaiktarafan sistem perparitan yang sering tersumbat di kawasan Likas dan lokasi lain yang terjejas.
“Rakyat mahu melihat peruntukan ini digunakan untuk menyelesaikan masalah yang benar-benar memberi kesan kepada kehidupan harian mereka, bukannya sekadar pengumuman tanpa hasil yang dapat dirasai,” katanya.
Walau bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa jumlah RM1.5 bilion tersebut masih jauh lebih rendah berbanding hak Sabah di bawah tuntutan 40 peratus hasil bersih yang dikutip Kerajaan Persekutuan dari negeri ini.
Menurut beliau, rakyat Sabah berhak mengetahui bagaimana angka RM1.5 bilion itu ditentukan serta memastikan setiap sen yang diperuntukkan digunakan secara telus dan berkesan untuk menyelesaikan masalah asas yang telah lama membelenggu negeri ini.
“Rakyat tidak meminta sesuatu yang luar biasa. Mereka hanya mahukan kemudahan asas yang berfungsi dengan baik, bekalan air yang konsisten serta kehidupan yang lebih selesa dan terjamin,” katanya.
Beliau berkata sudah tiba masanya masalah yang berlarutan selama bertahun-tahun itu ditangani secara menyeluruh, berkesan dan dengan keutamaan yang sewajarnya demi kesejahteraan rakyat Sabah.