KOTA KINABALU — ADUN N.25 Kapayan, Chin Tek Ming berkata langkah pertama yang perlu diambil oleh Kerajaan Persekutuan sekiranya benar-benar ikhlas dalam menyelesaikan isu hak 40% Sabah ialah menarik balik rayuan yang sedang berjalan di mahkamah berkaitan tuntutan tersebut.
Menurut beliau, selagi rayuan tersebut diteruskan, sebarang pengumuman kewangan tidak boleh dianggap sebagai penyelesaian muktamad terhadap hak perlembagaan Sabah, sebaliknya hanya bersifat sementara atau interim.
Beliau berkata dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah sebelum ini, Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun pernah merujuk kepada surat tuntutan berjumlah RM3.019 bilion yang dikemukakan kepada Kerajaan Persekutuan sebagai asas perbincangan mengenai hak 40% Sabah. Angka tersebut hanya melibatkan hasil cukai pendapatan dan kastam serta tidak termasuk hasil petroleum, gas dan sumber hasil lain.
“Namun hari ini, yang diumumkan dan diraikan hanyalah sekitar RM1.5 bilion sebagai bayaran interim, walaupun sebelum ini angka rujukan yang dibentangkan sendiri oleh kepimpinan Sabah adalah RM3.019 bilion,” katanya.
Beliau berpandangan bahawa perkara tersebut menimbulkan persoalan mengenai ketegasan Sabah dalam proses rundingan, khususnya dalam mempertahankan asas tuntutan yang telah dibentangkan secara rasmi.
Menurut Chin, jurang antara angka RM3.019 bilion dan RM1.5 bilion bukan sekadar isu fiskal semata-mata, tetapi membawa implikasi besar kepada Sabah yang masih berdepan pelbagai cabaran pembangunan dan kemiskinan.
Katanya, bagi sebuah negeri yang masih bergelut dengan defisit pembangunan berpanjangan, perbezaan tersebut mewakili kapasiti fiskal yang boleh digunakan untuk mempercepat pembangunan, mengurangkan kemiskinan dan memperkukuhkan infrastruktur asas negeri.
Beliau turut menegaskan bahawa sepanjang hampir enam tahun pentadbiran GRS, Sabah masih kekal sebagai negeri termiskin di Malaysia berdasarkan data ekonomi semasa.
Menurutnya, perkara itu merupakan fakta statistik yang tidak boleh disembunyikan melalui pengumuman interim atau retorik politik.
“Rakyat Sabah tidak menilai berdasarkan slogan atau pengumuman sementara. Rakyat mahu jawapan kepada persoalan utama iaitu sama ada rayuan terhadap hak 40% Sabah telah ditarik balik, mengapa angka RM3.019 bilion berakhir dengan RM1.5 bilion tanpa penjelasan telus, dan mengapa Sabah masih kekal sebagai negeri termiskin selepas hampir enam tahun pentadbiran,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa hak Sabah bukan sekadar angka interim atau bahan pujian politik, sebaliknya merupakan kewajipan perlembagaan yang perlu dilaksanakan sepenuhnya. Selagi perkara itu belum dimuktamadkan secara sah, telus dan adil, rakyat Sabah berhak mempersoalkan serta menuntut penjelasan daripada semua pihak yang terlibat.
NOTA:
Chin Tek Ming menegaskan bahawa isu hak 40% Sabah hanya boleh dianggap selesai apabila rayuan mahkamah ditarik balik dan hak tersebut dimuktamadkan secara sah mengikut semangat Perlembagaan Persekutuan serta MA63.
TAMAT