TERKINI
Christopher Masudal: MYKAS Dan Keutamaan Masa Depan Belia Sabah.
Rencana 3 min baca 72 tontonan

Christopher Masudal: MYKAS Dan Keutamaan Masa Depan Belia Sabah.

Ringkasan

Masiung Banah, menyokong pemberian MyKas kepada penduduk tanpa kewarganegaraan di Sabah, namun terdapat tentangan dari segi masa depan belia di Sabah.

Baca dalam:
Admin
Admin
Salin URL mengikut bahasa

Saya merujuk kepada ucapan Pengerusi Kelab Backbencher GRS, Masiung Banah, ketika mesyuarat Dewan Undangan Negeri baru-baru ini dimana dia menyokong pemberian MyKas kepada penduduk tanpa kewarganegaraan di negeri Sabah termasuklah pemegang IMM13 dan Kad Burung-burung atas sebab ekonomi.

Secara peribadi, saya menyokong sebarang usaha oleh Kerajaan untuk merekod dan mengeluarkan dokumen pengenalan diri kepada penduduk tanpa kewarganegaraan di negeri ini, dengan syarat, bahawa langkah tersebut tidak membuka sebarang laluan kepada mereka untuk mendapatkan kewarganegaraan di masa hadapan.

Proses merekod dan mendokumentasikan individu tanpa kewarganegaraan adalah penting bagi memastikan Kerajaan Negeri dan Persekutuan mempunyai data yang tepat dan menyeluruh tentang setiap individu yang berada di Sabah. Ini merupakan asas kepada perancangan dasar yang lebih berkesan.

Namun demikian, saya tidak bersetuju dengan pandangan Masiung bahawa pemberian MyKas perlu dilihat dari sudut manfaat ekonomi negeri. Dasar Kerajaan Negeri sepatutnya memfokuskan pengurangan kebergantungan terhadap tenaga buruh dari luar, bukannya memperkukuhkan kebergantungan tersebut.

Ramai diantara kita masih ingat bahawa pada awal tahun 2000, Kerajaan telah memperkenalkan pelbagai kursus kemahiran jangka pendek seperti pemasangan siling, kerja jubin, plastering dan penyusunan bata bagi melatih belia Sabah untuk mengisi keperluan tenaga kerja tempatan. Ini adalah antara langkah Kerajaan ketika itu untuk mengurangkan kebergantungan kepada tenaga buruh dari luar.

Dan pada ketika itu, tiada pemimpin yang mencadangkan pemberian dokumen pengenalan diri kepada warga asing tanpa kerakyatan atas alasan mereka boleh menyumbang kepada pembangunan ekonomi Sabah.

Alasan Masiung bahawa belia Sabah tidak berminat dalam sektor pertanian dan pembinaan juga tidak tepat. Hakikatnya, ramai belia Sabah bersedia untuk bekerja dalam sektor ini sekiranya ditawarkan gaji yang munasabah, pekerjaan yang stabil (bukan bersifat sementara), serta peluang mobiliti kerjaya yang jelas.

Malah, ramai anak muda Sabah cenderung kepada pekerjaan yang bersifat “outdoor” seperti di pelantar minyak, kapal kontena dan sektor eko-pelancongan — asalkan ganjarannya setimpal dengan kelayakan dan pengorbanan mereka.

Sekiranya pemberian MyKas ini dilihat oleh Masiung dan Kerajaan GRS sebagai sumber tenaga buruh murah, saya bimbang ia akan memberi kesan negatif kepada belia Sabah yang sedang menduduki kursus TVET Sabah di politeknik, institut pertanian dan kolej kemahiran. Apabila mereka menamatkan pengajian kelak, sudah pasti mereka akan berhadapan dengan persaingan yang tidak seimbang yang datangnya dari pemegang MyKas ini.

Kita perlu sedar bahawa penghijrahan anak-anak Sabah ke luar negeri adalah berpunca daripada kekurangan peluang pekerjaan yang setimpal dengan kelayakan yang mereka miliki, kadar gaji yang rendah serta tahap penggunaan teknologi yang masih ketinggalan dalam sektor-sektor utama negeri seperti pertanian, pembuatan dan pembinaan.

Dan kini, lambakan tenaga buruh murah yang memegang MyKas dalam pasaran buruh negeri pula sudah tentunya akan menyebabkan stagnasi gaji, di samping melambatkan pelaburan dan perlaksanaan teknologi moden dan IoT dalam sektor pertanian, pembuatan dan pembinaan negeri ini. Kesannya ialah anak-anak muda kita kekal menolak kerjaya di sektor-sektor ini dan Sabah pula akan terus merekodkan statistik produktiviti buruh yang terendah di negara ini, yakni sekitar 65%.

Oleh itu, saya menegaskan bahawa sebarang dasar ekonomi Kerajaan Negeri sepatutnya mengutamakan masa depan belia Sabah kerana selesai sahaja pengajian TVET mereka, mereka akan berdepan pula dengan pelbagai komitmen kewangan seperti bayaran balik PTPTN, pinjaman perumahan dan kenderaan, serta tanggungan keluarga.

Ekonomi negeri, dari atas hinggalah ke bawah, sepatutnya dipacu dan digerakkan oleh belia-belia Sabah dan bukannya oleh warga asing yang tidak diketahui kewarganegaraan mereka.

Christopher Masudal

Pengarah Komunikasi Strategik

Parti Warisan

30 April 2026

Jumpa kesilapan (terjemahan, makna atau ejaan)? Bantu kami dengan melaporkan.

Admin
Penulis

Admin

Admin Warisan Portal bertanggungjawab mengurus dan menerbitkan kenyataan media, artikel serta maklumat rasmi Parti Warisan kepada orang awam.

Artikel Berkaitan

Komen (0)

Jadilah yang pertama memberikan komen!

Sila log masuk untuk meninggalkan komen.

Log Masuk