KENYATAAN MEDIA TERHADAP ROBIN PADILA SENATOR FILIPINA UNTUK MENUNTUT SABAH.
Saya mengecam sekeras-kerasnya kenyataan oleh Robin Padilla yang sekali lagi menghidupkan tuntutan lapuk terhadap Sabah.
Kenyataan ini bukan sahaja tidak berasas, malah memalukan kredibiliti seorang senator. Dalam dunia yang berpaksikan fakta dan undang-undang antarabangsa, tindakan mengulang naratif usang ini hanya menyerlahkan kedangkalan serta keputusasaan politik.
Sebagai maklumat, Robin Padilla adalah seorang bekas pelakon aksi Filipina yang kini menjadi senator. Dia pernah ditangkap sebelum menjadi senator kerana memiliki senjata api secara haram. Rekod peribadinya juga mencatat kontroversi termasuk mempersendakan generasi muda dan isu hak wanita.
Seorang senator sepatutnya bercakap dengan tanggungjawab, bukan menjual retorik kosong demi perhatian. Kenyataan seperti ini menimbulkan persoalan serius terhadap tahap kefahaman beliau mengenai sejarah, kedaulatan, dan undang-undang antarabangsa.
Jika beliau benar-benar sayangkan negaranya Filipina, beliau sepatutnya menasihati Presidennya untuk memikirkan cara membawa balik rakyat Filipina yang datang secara haram ke Sabah, bukannya membuat cadangan merampas tanah berdaulat negara jiran.
Seperti yang telah ditegaskan oleh Presiden Parti Warisan Shafie Apdal baru-baru ini, kedudukan Sabah dalam Malaysia adalah muktamad dan tidak boleh dirunding sama sekali. Hakikatnya jelas Sabah menyertai Malaysia secara sah pada tahun 1963 melalui kutipan suara rakyat Sabah dan Proses ini diiktiraf oleh masyarakat antarabangsa.
Saya ingin menegaskan dengan tegas Sabah bukan wilayah pertikaian, Sabah bukan bahan tawar-menawar dan Sabah adalah wilayah dalam Malaysia.
Rakyat wilayah Sabah akan terus mempertahankan kedaulatan wilayahnya tanpa kompromi. Berhenti berpolitik dengan fantasi. Dunia bergerak dengan fakta. Saya ingatkan Robin Padila supaya hentikan skrip lakonan filem yang biasa dilakonkannya.
THAM YUN FOOK
ADUN N19 Likas