SEBATIK — ADUN Sebatik, YB Manahing Tinggilani mengambil maklum kenyataan pihak kerajaan yang memaklumkan bahawa pelan jangka panjang sedang dirancang termasuk cadangan memperdalam kolam takungan air di Wallace Bay, Pulau Sebatik bagi meningkatkan kapasiti simpanan bekalan air di kawasan terlibat.
Namun menurut beliau, persoalan utama rakyat hari ini bukan lagi sekadar pelan di atas kertas, tetapi sejauh mana keseriusan pelaksanaan itu sendiri.
“Rakyat sudah terlalu lama mendengar pelbagai pengumuman, lawatan tapak dan kenyataan bahawa isu air sedang ‘dalam tindakan’, ‘sedang diusahakan’ serta ‘akan dipertingkatkan’. Tetapi realitinya, rakyat di Pulau Sebatik dan Gugusan Felda Umas-Umas masih terus berdepan gangguan bekalan air yang berulang sehingga menjejaskan kehidupan harian, persekolahan anak-anak, aktiviti ekonomi dan kesihatan penduduk,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata cadangan memperdalam kolam takungan di Wallace Bay sememangnya satu langkah yang baik. Namun sekiranya pelaksanaannya terus perlahan tanpa garis masa yang jelas dan pemantauan yang telus, rakyat akan terus melihatnya sebagai satu lagi janji yang berisiko terkubur seperti pelbagai pengumuman sebelum ini.
Menurut beliau, kebergantungan kepada lori tangki dan bantuan air mineral setiap kali krisis berlaku jelas menunjukkan bahawa penyelesaian struktural terhadap isu tersebut masih belum benar-benar dicapai.
“Keadaan ini amat membimbangkan khususnya di Gugusan Felda Umas-Umas apabila masyarakat seolah-olah terus dipaksa bergantung kepada bantuan kecemasan yang tidak boleh dijadikan mekanisme kekal bagi memenuhi keperluan asas rakyat,” katanya.
Dalam masa sama, beliau turut menegaskan bahawa pihak pengurusan Felda tidak boleh terus dilihat sekadar menunggu intervensi luar tanpa pelan penyelesaian dalaman yang lebih proaktif dan menyeluruh.
Katanya, isu bekalan air yang berulang di kawasan penempatan Felda memerlukan tahap kebertanggungjawaban pengurusan yang lebih jelas termasuk dari sudut penyelenggaraan sistem, koordinasi tindakan kecemasan serta pelaksanaan penyelesaian jangka panjang yang benar-benar berkesan.
“Rakyat di Sebatik dan Gugusan Felda Umas-Umas bukan meminta ihsan bermusim. Mereka menuntut hak asas untuk menikmati bekalan air bersih yang stabil dan konsisten,” katanya.
Beliau berkata selepas bertahun-tahun krisis ini berulang, rakyat masih terus mendengar kenyataan seperti “sedang dalam tindakan”, “sedang diselaraskan”, “dalam proses pelaksanaan” dan “akan dipertingkatkan”, namun gangguan bekalan air masih berlaku secara berulang tanpa penyelesaian muktamad.
Tambah beliau, sehingga hari ini tiada garis masa yang diumumkan secara terbuka kepada rakyat, tiada perkembangan berkala yang benar-benar meyakinkan bahawa projek penyelesaian sedang bergerak mengikut jadual serta tiada jaminan jelas bahawa kapasiti bekalan air selepas projek siap benar-benar mampu menampung keperluan semasa dan masa depan kawasan tersebut.
Sehubungan itu, beliau berkata rakyat berhak mengetahui beberapa perkara penting sekiranya kerajaan benar-benar serius mahu menyelesaikan isu berkenaan.
“Bilakah projek memperdalam kolam takungan Wallace Bay akan dimulakan dan disiapkan? Berapakah kapasiti tambahan bekalan air yang dijangka mampu diselesaikan melalui projek tersebut? Apakah pelan penyelesaian khusus pihak pengurusan Felda bagi memastikan penduduk di Gugusan Umas-Umas tidak terus bergantung kepada bantuan kecemasan? Dan siapa yang akan dipertanggungjawabkan sekiranya pelaksanaan terus tertangguh tanpa penyelesaian konkrit?” soalnya.
Beliau berkata sekiranya semua persoalan tersebut gagal dijawab secara telus, maka rakyat tidak boleh dipersalahkan apabila keyakinan mereka semakin terhakis terhadap pelbagai pengumuman yang dibuat.
“Air bukan isu kecil untuk dipolitikkan setiap kali krisis berlaku. Air adalah keperluan asas rakyat. Cukuplah rakyat dipaksa hidup dalam ketidakpastian sedangkan penyelesaian yang dijanjikan masih belum benar-benar dirasai di lapangan,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa rakyat Sebatik dan Gugusan Felda Umas-Umas tidak lagi mahu retorik semata-mata, sebaliknya mahukan tindakan, pelaksanaan yang tegas dan hasil yang benar-benar mampu menjamin masa depan generasi akan datang.