Parti Warisan ingin menjemput seluruh rakyat khususnya masyarakat pelbagai kaum di Sabah untuk bersama-sama memeriahkan sambutan Pesta Kaamatan Warisan Inanam yang akan diadakan pada 13 Jun 2026 bertempat di Kokol Paradise Cafe.
Untuk sambutan Kaamatan Parti Warisan pada tahun ini, DUN Inanam telah dipilih sebagai tuan rumah penganjuran di Bahagian Sepanggar. Sebelum ini, sambutan Kaamatan Parti Warisan telah dianjurkan oleh Warisan Bahagian Papar pada tahun 2025.
YB Edna Majimbun selaku wakil rakyat kawasan Inanam akan bertindak sebagai tuan rumah serta penaung dan penasihat utama bagi penganjuran sambutan tahun ini.
Turut hadir bersama Presiden Parti Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (DSSA) bersama pimpinan-pimpinan Parti Warisan bagi menyempurnakan perasmian Pesta Kaamatan Inanam 2026.
Program akan bermula seawal pagi dengan pelbagai pengisian dan aktiviti kebudayaan yang mencerminkan semangat perpaduan, persaudaraan serta penghargaan terhadap warisan budaya rakyat Sabah yang menjadi kekuatan sebenar negeri ini.
Sebagai acara pembuka tirai, sesi saringan Sugandoi akan diadakan pada 12 Jun 2026 pada sebelah malam. Peserta yang terpilih akan bertanding di peringkat akhir pada hari perasmian.
Begitu juga pertandingan Unduk Ngadau dari penyertaan semua daerah di Sabah dan pertandingan Sumazau yang akan berlangsung pada hari perasmian. Penyertaan pertandingan ini adalah terbuka kepada semua rakyat Sabah.
Program ini bukan sahaja menjadi platform mengetengahkan bakat seni dan budaya tempatan, tetapi juga usaha memastikan warisan dan identiti budaya Sabah terus dipelihara serta diwarisi generasi akan datang.
Pesta Kaamatan bukan sekadar perayaan bermusim, tetapi simbol kesyukuran, perpaduan dan kebersamaan rakyat Sabah tanpa mengira latar belakang kaum, agama mahupun fahaman politik. Dalam dunia politik yang semakin sibuk dengan persepsi dan permainan naratif, budaya dan akar identiti rakyat tidak seharusnya dilupakan. Negeri ini dibina atas semangat kebersamaan rakyatnya, bukan sekadar slogan bermusim di atas pentas.
Justeru, Parti Warisan menyeru seluruh rakyat untuk hadir bersama keluarga dan sahabat handai bagi memeriahkan sambutan ini dalam suasana harmoni dan penuh semangat keraian.
“Kaamatan: Menuai Perpaduan, Meraikan Keharmonian”
“Kaamatan: Mongomot Pisompuruan, Mamaramai Piunungan”
“Kaamatan: Harvesting Unity, Celebrating Harmony”
Sekian, terima kasih.
NOTA:
Pemilik kenyataan:
Datuk Mohd Azis Bin Jamman
Jawatan:
Ketua Penerangan Parti Warisan Pusat