KOTA KINABALU: ADUN Luyang, Samuel Wong menggesa Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) memperkukuh penguatkuasaan dan usaha kebersihan bandar sambil menyeru orang awam supaya memainkan peranan lebih bertanggungjawab dalam menjaga kebersihan serta kelestarian alam sekitar di bandar raya ini.
Menurut beliau, kebersihan bandar, kesihatan awam dan kelestarian persekitaran hanya dapat dicapai melalui kerjasama antara pihak berkuasa dan rakyat.
Katanya, isu kebersihan bukan sekadar melibatkan alam sekitar tetapi turut memberi kesan langsung terhadap kesihatan awam, sektor pelancongan serta imej keseluruhan Kota Kinabalu.
Beliau berkata sebuah bandar yang bersih tidak dapat dibina dalam tempoh singkat sebaliknya memerlukan penguatkuasaan yang konsisten, kesedaran awam, kemudahan mencukupi serta rasa tanggungjawab daripada setiap warga kota.
Menurut beliau, penguatkuasaan memainkan peranan penting sebagai peringatan kepada masyarakat supaya lebih berdisiplin dalam menjaga kebersihan bandar.
Samuel berkata masalah pembuangan sampah, pembuangan sisa haram dan pengurusan sampah yang tidak bertanggungjawab masih berlaku di banyak kawasan termasuk kawasan komersial, deretan kedai dan kawasan perumahan.
Bagi menangani masalah tersebut dengan lebih berkesan, beliau mencadangkan agar rondaan dan pemantauan oleh penguat kuasa dipertingkatkan khususnya di kawasan hotspot yang sering menerima aduan awam.
Beliau turut mencadangkan supaya lebih banyak tong sampah awam disediakan di lokasi strategik selain meningkatkan kekerapan kerja pembersihan bandar.
Menurut beliau, penguatkuasaan kebersihan perlu dilihat secara jelas dan konsisten supaya masyarakat lebih mematuhi peraturan yang ditetapkan.
Katanya, tindakan lebih tegas perlu dikenakan terhadap pesalah berulang sebagai langkah pencegahan.
Beliau turut mencadangkan supaya pesalah yang gagal membayar denda dikenakan kerja khidmat masyarakat berkaitan pembersihan awam agar mereka dapat menyumbang kembali kepada masyarakat sambil memahami kepentingan menjaga kebersihan bandar.
Samuel berkata beberapa bandar utama dunia termasuk Singapura berjaya mengekalkan tahap kebersihan melalui penguatkuasaan ketat dan disiplin masyarakat yang tinggi.
Beliau turut menyatakan bahawa Kuala Lumpur juga telah mula melaksanakan kerja pembersihan komuniti sebagai sebahagian daripada hukuman terhadap pesalah kebersihan.
Selain isu sampah, beliau berkata masalah kawalan perosak seperti tikus dan lipas turut menjadi kebimbangan serius yang menjejaskan kebersihan bandar serta kesihatan awam terutama di kawasan komersial dan premis makanan.
Menurut beliau, bandar raya Kota Kinabalu memerlukan pelaksanaan kawalan perosak yang lebih sistematik dan konsisten.
Katanya, kawalan perosak tidak boleh tertumpu kepada jalan raya semata-mata tetapi perlu melibatkan premis kedai, lorong belakang, pusat pengumpulan sampah serta premis makanan.
Beliau turut menggesa pihak berkuasa memastikan semua premis makanan mematuhi prosedur pengurusan sisa dan SOP kebersihan dengan lebih ketat.
Samuel berkata pusat pengumpulan sampah dan tong komuniti juga perlu dibersihkan secara berkala dan dikosongkan dengan lebih kerap bagi mengelakkan longgokan sampah serta pembiakan perosak.
Menurut beliau, pengurusan kawalan perosak di kawasan tong sampah mesti dilakukan secara konsisten kerana kawasan yang kotor dan tidak diurus dengan baik boleh menyebabkan penularan penyakit serta risiko kesihatan kepada penduduk dan peniaga berhampiran.
Dalam kenyataan sama, beliau turut membangkitkan isu pelanggaran larangan merokok di restoran dan premis makanan.
Katanya, beliau menerima banyak aduan daripada orang awam di kawasan Damai, Lintas dan Foh Sang berhubung perokok yang tidak mematuhi larangan merokok di restoran.
Beliau menjelaskan bahawa isu tersebut bukan bermaksud menentang golongan perokok tetapi lebih kepada usaha mengimbangi kesihatan dan keselesaan semua pelanggan.
Menurut beliau, pihak berkuasa perlu bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia untuk menyediakan kawasan merokok khas supaya pelanggan yang tidak merokok tidak terjejas dengan asap rokok ketika menjamu selera.
Beliau turut menggesa agensi penguat kuasa dan pihak kesihatan meningkatkan rondaan serta operasi pemantauan di premis makanan bagi memastikan pematuhan terhadap peraturan larangan merokok.
Dalam masa sama, Samuel mengakui bahawa peraturan sedia ada yang meletakkan tanggungjawab kepada pengusaha restoran untuk menegur pelanggan yang merokok kadangkala menyukarkan pemilik perniagaan.
Katanya, terdapat kes di mana pemilik restoran bimbang menegur pelanggan kerana takut menjejaskan operasi dan hubungan dengan pelanggan tertentu.
Beliau menasihatkan pengusaha restoran supaya merekodkan butiran, mengambil gambar pesalah jika sesuai dan membuat aduan kepada hotline Kementerian Kesihatan Malaysia di talian 010-8608949 untuk tindakan lanjut.
Samuel menegaskan bahawa usaha membina bandar hijau, bersih dan selesa didiami memerlukan kerjasama antara masyarakat dan pihak penguat kuasa.
Katanya, rakyat perlu mematuhi undang-undang manakala pihak berkuasa pula mesti melaksanakan penguatkuasaan secara adil dan konsisten.
Beliau berkata bandar yang bersih tidak dapat diwujudkan hanya melalui penguatkuasaan tetapi memerlukan budaya tanggungjawab bersama dalam kalangan masyarakat.
Tegas beliau, kebersihan bandar bukan sahaja penting untuk kesihatan dan kesejahteraan rakyat tetapi juga bagi melindungi imej Kota Kinabalu sebagai destinasi pelancongan utama di Sabah.