TERKINI
WARISAN SAMBUT CADANGAN JAWATANKUASA DWIPARTISAN MA63, TUNTUT PELAN BERFASA DAN TEGAS DEMI KEDAULATAN SABAH
MA63 3 min read 340 views

WARISAN SAMBUT CADANGAN JAWATANKUASA DWIPARTISAN MA63, TUNTUT PELAN BERFASA DAN TEGAS DEMI KEDAULATAN SABAH

Summary

ADUN N.60 Tungku merangkap Ahli Majlis Tertinggi Parti Warisan, YB Assaffal P. Alian menyambut baik cadangan penubuhan jawatankuasa dwipartisan MA63 di bawah DUN Sabah, namun menegaskan jawatankuasa tersebut perlu bergerak secara teknikal, berstruktur dan berani termasuk mengkaji semula pengambilalihan undang-undang Sabah melalui L.N. 199/1965 serta menetapkan garis masa jelas demi mengembalikan hak dan autonomi Sabah.

Admin
Admin

KOTA KINABALU — ADUN N.60 Tungku merangkap Ahli Majlis Tertinggi Parti Warisan, YB Assaffal P. Alian merujuk kepada kenyataan YB Datuk Joniston Bangkuai yang mencadangkan penubuhan sebuah jawatankuasa dwipartisan di bawah Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah bagi membincangkan hak-hak Sabah dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Beliau berkata, semangat cadangan tersebut wajar dipuji kerana perjuangan mempertahankan hak Sabah seharusnya melangkaui perbezaan ideologi politik demi kepentingan rakyat dan masa depan negeri.

Namun begitu, menurut beliau, bagi memastikan jawatankuasa tersebut benar-benar berfungsi secara teknikal dan berfakta, beberapa elemen kritikal perlu dimasukkan ke dalam skop perbincangan.

Assaffal berkata perkara pertama yang mesti diberikan perhatian ialah semakan semula terhadap Warta Persekutuan L.N. 199/1965 [Modification of Laws (Declaration of Federal Present Laws) (Sabah) Order, 1965].

Menurut beliau, melalui instrumen tersebut, sebanyak 120 undang-undang sedia ada Sabah termasuk berkaitan hasil negeri, buruh dan sumber asli seperti The Petroleum Ordinance 1960 dan The Customs Ordinance telah diisytiharkan sebagai undang-undang Persekutuan.

“Persoalan utama yang perlu dibangkitkan ialah sama ada pengisytiharan secara borong ini masih relevan atau sebenarnya telah menghakis kuasa autonomi Sabah yang sepatutnya dilindungi di bawah MA63. Ini bukan sekadar isu 40 peratus hasil, tetapi soal pemulangan kuasa perundangan Sabah yang telah difederalkan sejak tahun 1965,” katanya.

Beliau turut mencadangkan supaya jawatankuasa tersebut diberikan garis masa yang jelas dengan laporan awal dibentangkan dalam tempoh 60 hari.

Katanya, rakyat Sabah kini semakin memahami isu MA63 dan tidak lagi mahu melihat tuntutan negeri terus tertangguh tanpa hala tuju yang konkrit.

Selain itu, beliau turut menggesa supaya Sabah bekerjasama secara strategik dengan Sarawak memandangkan kedua-dua wilayah tertakluk kepada instrumen hampir sama melalui L.N. 200/1965.

“Sebagai dua wilayah pembentuk Malaysia, Sabah dan Sarawak perlu bergerak sebagai satu blok yang lebih kuat untuk mendesak Putrajaya mengembalikan hak-hak asal yang telah terhakis,” katanya lagi.

Assaffal turut menegaskan bahawa hasil kajian jawatankuasa tersebut tidak boleh sekadar berakhir di meja perbincangan, sebaliknya mesti dibawa ke DUN Sabah sebagai usul rasmi bagi mendapatkan mandat politik dan perundangan yang kukuh.

Beliau berkata suara tersebut juga perlu diteruskan ke peringkat Parlimen melalui Ahli Parlimen Sabah termasuk wakil Parti Warisan seperti YB Isnaraissah Munirah Majilis supaya isu berkaitan hak Sabah dibahaskan secara rasmi di Dewan Rakyat.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan bahawa MA63 bukanlah satu bentuk hadiah daripada Persekutuan, tetapi merupakan syarat asas pembentukan Malaysia yang perlu dihormati.

“Jika syarat asal dan kuasa perundangan Sabah yang telah diambil melalui instrumen seperti L.N. 199/1965 tidak dikaji semula secara adil, maka perkara ini akan menyentuh soal legitimasi semangat Persekutuan itu sendiri,” tegasnya.

Beliau menambah bahawa Parti Warisan sentiasa bersedia bekerjasama dengan semua pihak demi memastikan hak Sabah dikembalikan ke kedudukan asal seperti yang termaktub sebelum pembentukan Malaysia.

Found an error (translation, meaning or spelling)? Help us by reporting it.

Admin
Writer

Admin

Admin Warisan Portal bertanggungjawab mengurus dan menerbitkan kenyataan media, artikel serta maklumat rasmi Parti Warisan kepada orang awam.

Related Posts

Comments (0)

Be the first to comment!

Please log in to leave a comment.

Login