YB Tuan Yusri Pungut, ADUN N.35 Sindumin telah mengadakan lawatan kerja ke Syarikat Pembinaan Kekal Mewah Sdn Bhd dan Globinaco Sdn Bhd bagi membincangkan beberapa isu berkaitan infrastruktur jalan raya di kawasan Sindumin.
Dalam sesi pertemuan tersebut, YB Tuan Yusri telah membangkitkan pelbagai aduan serta rungutan rakyat berhubung keadaan jalan yang rosak, berlubang dan memerlukan perhatian segera daripada pihak berkaitan.
Menurut beliau, isu kerosakan jalan bukan sahaja menjejaskan keselesaan pengguna jalan raya, malah turut memberi risiko terhadap keselamatan penduduk yang menggunakan laluan tersebut setiap hari.
Beliau berharap agar pihak syarikat dapat mengambil tindakan sewajarnya dan mempercepatkan usaha pembaikan demi memastikan kesejahteraan serta keselesaan rakyat khususnya penduduk di kawasan DUN Sindumin terus terpelihara.
YB Tuan Yusri turut menegaskan bahawa isu kemudahan asas seperti jalan raya perlu diberi perhatian serius kerana ia memberi kesan langsung kepada aktiviti harian, ekonomi dan keselamatan masyarakat setempat.
Lawatan kerja tersebut juga menjadi platform perbincangan bersama pihak syarikat bagi mencari penyelesaian terbaik terhadap masalah yang dihadapi rakyat di kawasan berkenaan.