KOTA KINABALU, April — Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.17 Darau, Azhar Datuk Haji Matussin, membangkitkan beberapa isu kritikal melibatkan kebajikan rakyat dalam ucapan perbahasan sempena pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Sabah ke-17.
Dalam ucapannya, beliau memberi penekanan utama terhadap krisis bekalan air yang berlarutan di kawasan Kampung Likas dan Kingfisher, yang disifatkannya sebagai kegagalan serius tadbir urus dan infrastruktur.
“Air bukan kemewahan. Air adalah hak asasi manusia,” tegas beliau sambil menggambarkan penderitaan penduduk yang terpaksa mengangkut air, tidak dapat mandi sebelum bekerja, serta warga emas yang tidak mampu menjaga kebersihan diri akibat gangguan bekalan berterusan.
Beliau mempersoalkan punca sebenar masalah tersebut sama ada berpunca daripada loji rawatan usang, paip bocor atau kegagalan perancangan yang tidak seiring dengan pertumbuhan pesat penduduk di Kota Kinabalu.
Selain itu, beliau mendesak tindakan segera termasuk penyediaan lori tangki air, sistem notifikasi awal kepada penduduk, serta pelan jangka panjang yang jelas dengan tarikh, bajet dan pelaksanaan konkrit.
Dalam gesaannya, beliau turut mencadangkan agar laporan penuh status infrastruktur air dikeluarkan dalam tempoh 30 hari, peruntukan kecemasan diluluskan, serta penubuhan Suruhanjaya Pengurusan Air Sabah bagi meningkatkan kecekapan bekalan air.
Projek Tebatan Banjir Sungai Likas: Jangan Abaikan Rakyat Terjejas
Dalam isu berasingan, beliau turut menyentuh pelaksanaan Projek Tebatan Banjir Sungai Likas yang menurutnya memberi manfaat jangka panjang, namun menimbulkan penderitaan kepada penduduk yang terlibat.
Beliau berkongsi pengalaman mendengar sendiri keluhan seorang warga emas yang kehilangan tempat tinggal akibat perobohan rumah.
“Pembangunan untuk siapa?” soal beliau, sambil menegaskan bahawa manfaat jangka panjang tidak boleh dibina di atas penderitaan rakyat tanpa penyelesaian sewajarnya.
Beliau mempersoalkan sama ada rundingan telus telah dilakukan, pampasan yang ditawarkan adil, serta ketersediaan penempatan alternatif sebelum perobohan dilaksanakan.
Antara cadangan yang dikemukakan termasuk menggantung semua perobohan sehingga mekanisme pampasan dimuktamadkan, penubuhan jawatankuasa khas perundingan rakyat, serta jaminan bertulis penyediaan perumahan kepada setiap keluarga terlibat.
Penghargaan Isu Tanah Kampung Nelayan Likas
Dalam perkembangan lain, beliau merakamkan penghargaan terhadap penganugerahan tanah seluas dua ekar di Kampung Likas sebagai pampasan kepada enam keluarga.
Menurutnya, perkara itu bukan sekadar keputusan pentadbiran, tetapi satu tindakan yang mencerminkan keprihatinan terhadap rakyat.
Namun beliau menegaskan keperluan memastikan enam keluarga yang telah dinamakan dalam surat bertarikh 13 Januari 2026 tidak tercicir dalam proses pengagihan.
Krisis Saliran dan Isu Infrastruktur Tempatan
Beliau turut membangkitkan isu sistem saliran di Kampung Dambai yang disifatkan sebagai lapuk dan tidak lagi mampu menampung aliran air akibat pembangunan pesat.
Menurutnya, kehilangan kawasan takungan semula jadi serta kelemahan koordinasi antara kelulusan pembangunan dan keupayaan infrastruktur menjadi punca utama masalah.
Selain itu, beberapa isu tempatan turut diketengahkan termasuk:
- Banjir di Kg. Warisan, Kg. Darau dan Kg. Bangka
- Kesesakan dan masalah parkir di Taman Puri Warisan
- Jalan rosak serta lampu jalan tidak berfungsi di Taman Kingfisher
- Keperluan papan tanda dan langkah keselamatan jalan raya
Isu Pendidikan: Murid Terpaksa Menyeberang Laut
Dalam sektor pendidikan, beliau mendedahkan situasi pelajar dari Kg. Kebagu dan Numbak yang terpaksa menyeberang ke pulau untuk bersekolah di SK Pulau Sepanggar.
Menurutnya, keadaan ini menjadi lebih sukar sekiranya sistem dua sesi dilaksanakan kerana murid akan pulang lewat petang dan berisiko tidak dapat pulang sekiranya cuaca buruk.
Seruan Utamakan Rakyat
Mengakhiri ucapannya, beliau mengingatkan bahawa kepimpinan harus berpaksikan kepada keperluan asas rakyat.
“Rakyat mahukan penyelesaian,” tegas beliau, sambil menekankan bahawa pembangunan tidak bermakna tanpa kesejahteraan rakyat yang terjejas.