TERKINI
ADUN Likas Bangkit Lima Isu Kritikal Dalam Perbahasan Penggal Ke-2 DUN Sabah
Semasa 3 min baca 658 tontonan

ADUN Likas Bangkit Lima Isu Kritikal Dalam Perbahasan Penggal Ke-2 DUN Sabah

Ringkasan

ADUN Likas, YB Tham Yun Fook, membangkitkan lima isu penting berkaitan infrastruktur, pendidikan, dan perparitan yang memberi impak kepada rakyat Sabah.

Baca dalam:
Admin
Admin
Salin URL mengikut bahasa

KOTA KINABALU, 27 April 2026 — Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Likas, YB Tham Yun Fook membangkitkan lima isu utama yang menurutnya memberi kesan langsung kepada rakyat Sabah ketika membahaskan ucapan dasar kerajaan dalam Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Sabah.

Dalam perbahasannya, beliau menegaskan bahawa pembangunan infrastruktur air tidak boleh hanya tertumpu kepada peningkatan kapasiti loji rawatan semata-mata tanpa menyelesaikan kelemahan sistem agihan.

Menurut beliau, banyak saluran paip bawah tanah di Sabah khususnya di kawasan Likas sudah berusia lebih 30 tahun dan menjadi punca kebocoran berulang, kehilangan air terawat serta gangguan bekalan berpanjangan di beberapa kawasan seperti Taman Fantasi, Taman Ujana Sri Fantasi, Taman Cempaka, Signal Hill, Segama, Suria Sabah, Wisma Merdeka, Kolej Cyberjaya dan kawasan sekitarnya.

Beliau turut membangkitkan isu sistem perparitan yang didakwa sering tersumbat dan kurang penyelenggaraan sehingga menyebabkan banjir kilat berulang di kawasan perumahan dan sekolah di Likas.

Tham turut mendedahkan bahawa beliau telah menghantar surat untuk bertemu Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran Sabah bagi membincangkan isu tersebut, namun sehingga kini masih belum menerima sebarang maklum balas.

Dalam sektor pendidikan, beliau berkata usaha melahirkan modal insan berkemahiran tinggi akan gagal sekiranya masalah sekolah daif dan kekurangan kemudahan asas masih berterusan.

Beliau menegaskan Sabah tidak boleh terus menyerahkan sepenuhnya isu pendidikan kepada kerajaan Persekutuan memandangkan negeri itu masih berdepan jumlah sekolah daif yang tinggi, jurang pendidikan bandar dan luar bandar serta prestasi akademik yang membimbangkan.

Sebagai contoh, beliau membangkitkan keadaan murid di SK Balaban Jaya, Beluran yang terpaksa belajar di kaki lima masjid serta murid di SK Simpangan Paitan yang belajar di bangunan tidak sempurna selepas sekolah mereka terjejas akibat banjir besar.

Dalam isu biasiswa, beliau menggesa kerajaan negeri memastikan penawaran biasiswa diselaraskan dengan keperluan tenaga kerja masa depan Sabah khususnya dalam bidang kesihatan, kejuruteraan, pengurusan karbon, tenaga boleh diperbaharui, pendidikan, kecerdasan buatan (AI), ekonomi biru dan ekonomi hijau.

Beliau turut membangkitkan aduan mahasiswa yang mendakwa masih belum menerima bayaran biasiswa walaupun kelulusan telah diberikan.

Menurutnya, kelewatan tersebut memberi tekanan besar kepada pelajar terutama daripada keluarga berpendapatan rendah dan perlu diselesaikan segera.

Menyentuh isu kos sara hidup, Tham berkata kenaikan harga barang, kos logistik dan tekanan ekonomi isi rumah memerlukan tindakan lebih konkrit daripada kerajaan negeri.

Beliau mempersoalkan bilakah kerajaan negeri akan mengumumkan langkah khusus bagi membantu rakyat menghadapi tekanan ekonomi semasa.

Dalam masa sama, beliau berkata autonomi Sabah di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) perlu diterjemahkan kepada hasil yang lebih nyata.

Beliau menegaskan isu tuntutan 40 peratus hasil cukai bersih Sabah perlu terus diperjuangkan kerana ia memberi kesan langsung kepada kemampuan negeri menyelesaikan isu asas seperti bekalan air, pendidikan, kesihatan dan pembangunan infrastruktur.

Menurut beliau, perjuangan tersebut perlu dilakukan secara bipartisan kerana ia melibatkan hak Sabah dan bukannya kepentingan mana-mana parti politik.

Jumpa kesilapan (terjemahan, makna atau ejaan)? Bantu kami dengan melaporkan.

Admin
Penulis

Admin

Admin Warisan Portal bertanggungjawab mengurus dan menerbitkan kenyataan media, artikel serta maklumat rasmi Parti Warisan kepada orang awam.

Artikel Berkaitan

Komen (0)

Jadilah yang pertama memberikan komen!

Sila log masuk untuk meninggalkan komen.

Log Masuk