TERKINI
Affandi Arif Persoal Kelewatan Penyelesaian Tuntutan 40% Sabah
MA63 3 min baca 659 tontonan

Affandi Arif Persoal Kelewatan Penyelesaian Tuntutan 40% Sabah

Ringkasan

Ketua Wira Warisan Sepanggar, Affandi Arif mempersoalkan kegagalan kerajaan negeri mendapatkan penyelesaian yang jelas berhubung tuntutan 40% hasil bersih Persekutuan untuk Sabah walaupun isu tersebut telah berlarutan selama bertahun-tahun.

Beliau turut mengkritik kerajaan negeri yang didakwa terlalu berhati-hati menjaga hubungan dengan Putrajaya sehingga gagal menunjukkan ketegasan dalam menuntut hak penuh Sabah termasuk tunggakan bagi tempoh 2022 hingga 2024.

Baca dalam:
Admin
Admin
Salin URL mengikut bahasa

SEPANGGAR: Ketua Wira Warisan Sepanggar, Affandi Arif berkata rakyat Sabah sudah terlalu lama mendengar alasan bahawa isu tuntutan 40% hasil bersih Persekutuan “masih dirunding” tanpa melihat penyelesaian yang jelas sehingga hari ini.

Menurut beliau, selepas bertahun-tahun berlalu, rakyat Sabah masih tertanya-tanya sampai bila negeri ini perlu terus menunggu hak yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan diselesaikan sepenuhnya.

Katanya, kerajaan negeri tidak boleh terus berselindung di sebalik kenyataan umum tanpa keberanian menuntut penjelasan yang telus daripada Perdana Menteri sendiri.

Beliau berkata rakyat mahu mengetahui jumlah sebenar yang diakui oleh Kerajaan Persekutuan, bila formula pembayaran akan dimuktamadkan dan bila hak 40% tersebut akan dibayar sepenuhnya kepada Sabah.

Tambahnya, kerajaan negeri juga tidak seharusnya terus menjual naratif mengenai “hubungan baik dengan Putrajaya” sekiranya Sabah masih terus menunggu tanpa garis masa yang jelas, tanpa tarikh akhir dan tanpa sebarang jaminan bertulis daripada Perdana Menteri.

Menurut beliau, hak 40% Sabah bukan sedekah politik tetapi merupakan hak negeri yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan perlu diperjuangkan tanpa kompromi.

Affandi turut mempersoalkan mengapa kerajaan negeri ketika ini hanya memberi tumpuan kepada bayaran bagi tahun semasa sedangkan hak Sabah bagi tempoh 2022 hingga 2024 juga masih belum diselesaikan.

Beliau berkata tindakan tersebut menimbulkan persoalan sama ada kerajaan negeri takut untuk menuntut tunggakan yang sepatutnya menjadi hak rakyat Sabah sejak awal lagi.

Katanya, jika kerajaan benar-benar serius mempertahankan hak negeri, maka semua tuntutan perlu diperjuangkan sepenuhnya dan bukannya dilakukan secara separuh jalan semata-mata kerana mahu menjaga hati Putrajaya.

Dalam kenyataan sama, Affandi turut menyentuh mengenai penyertaan beberapa ADUN kerajaan dalam demonstrasi tuntutan 40% Sabah pada 10 April 2026.

Menurut beliau, kehadiran Datuk Madius Tangau dan Datuk Roger Chin dalam himpunan tersebut menunjukkan bahawa isu berkenaan bukan lagi sekadar rungutan pembangkang tetapi turut dipersoalkan oleh wakil rakyat dalam kerajaan sendiri.

Beliau turut membangkitkan persoalan mengenai peranan Datuk Roger Chin sebagai ADUN Dilantik yang diberikan tanggungjawab khusus berkaitan isu 40% Sabah.

Katanya, jika kerajaan GRS benar-benar berada di landasan yang betul dalam tuntutan tersebut, mengapa wakil rakyat mereka sendiri perlu turun ke jalan raya bersama rakyat.

Tambah beliau, hantaran Facebook Datuk Roger Chin pada 27 April 2026 yang meluahkan rasa tidak puas hati terhadap perkembangan isu 40% Sabah menjadi petunjuk bahawa kerajaan negeri gagal memberikan keyakinan kepada rakyat.

Affandi berkata rakyat Sabah hari ini tidak lagi mahu mendengar alasan atau kenyataan berbunga-bunga, sebaliknya mahukan hasil, ketegasan dan tindakan yang jelas daripada kerajaan negeri.

Tegas beliau, sudah tiba masanya kerajaan negeri menyatakan pendirian secara terbuka sama ada benar-benar berani mempertahankan hak Sabah sepenuhnya ataupun terus memilih untuk berdiam diri demi menjaga hubungan politik dengan Putrajaya.

Jumpa kesilapan (terjemahan, makna atau ejaan)? Bantu kami dengan melaporkan.

Admin
Penulis

Admin

Admin Warisan Portal bertanggungjawab mengurus dan menerbitkan kenyataan media, artikel serta maklumat rasmi Parti Warisan kepada orang awam.

Artikel Berkaitan

Komen (0)

Jadilah yang pertama memberikan komen!

Sila log masuk untuk meninggalkan komen.

Log Masuk