KOTA KINABALU: ADUN N.25 Kapayan, YB Chin Tek Ming menyatakan bahawa rakyat Sabah hari ini tidak lagi berminat dengan kenyataan politik, propaganda kementerian atau angka yang cuba menggambarkan keadaan ekonomi berada dalam keadaan baik sedangkan realitinya kos sara hidup terus meningkat dan menekan kehidupan rakyat.
Menurut beliau, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali gagal memberikan sebarang kelegaan yang benar-benar dirasai rakyat Sabah walaupun memegang portfolio yang secara langsung berkaitan dengan kehidupan harian rakyat.
Beliau mempersoalkan bagaimana kerajaan boleh terus mendakwa kos sara hidup terkawal sedangkan Sabah masih kekal antara negeri paling tertekan dari sudut ekonomi di Malaysia.
Katanya, fakta menunjukkan Sabah masih merekodkan kadar kemiskinan tertinggi di negara ini iaitu sekitar 7.4 peratus melibatkan ratusan ribu rakyat yang terus hidup dalam tekanan ekonomi harian.
Dalam masa sama, beliau berkata pendapatan median isi rumah di Sabah hanya sekitar RM4,961 iaitu jauh lebih rendah berbanding purata nasional sebanyak RM7,017.
Menurut Chin, walaupun rakyat Sabah berpendapatan lebih rendah, mereka tetap dipaksa menanggung peningkatan kos hidup tanpa perlindungan sebenar daripada kementerian yang sepatutnya bertanggungjawab menjaga kebajikan rakyat.
Beliau turut menyatakan bahawa angka ekonomi sendiri menunjukkan kegagalan jelas kerajaan dalam menangani jurang kuasa beli rakyat apabila harga makanan meningkat sekitar 17.5 peratus sejak tahun 2020 tetapi pertumbuhan gaji hanya sekitar 7.9 peratus.
Katanya, situasi itu membuktikan rakyat semakin miskin dari sudut kuasa beli walaupun kerajaan terus mendakwa ekonomi negara berada dalam keadaan stabil.
Beliau berkata rakyat Sabah telah lama melihat sendiri kesan kegagalan tersebut di lapangan apabila harga makanan di Kota Kinabalu semakin tinggi sehingga ramai menganggap kos makanan kini setanding atau lebih mahal daripada Kuala Lumpur walaupun pendapatan rakyat Sabah jauh lebih rendah.
Menurut beliau, isu sebenar hari ini bukan lagi mengenai dasar atas kertas tetapi kegagalan seorang menteri yang tidak mampu membawa perubahan nyata kepada negeri asalnya sendiri dalam portfolio yang paling hampir dengan penderitaan rakyat.
Beliau mempersoalkan kewujudan portfolio Menteri Kos Sara Hidup sekiranya rakyat terus hidup dalam tekanan tanpa perubahan yang bermakna.
Katanya, rakyat juga mempersoalkan fungsi kabinet kerajaan sekiranya rakyat Sabah terus menjadi antara golongan paling terkesan dengan tekanan ekonomi dan kenaikan harga barang.
Menurut Chin, rakyat tidak hidup dengan slogan, propaganda atau kenyataan media berulang-ulang sebaliknya memerlukan tindakan dan penyelesaian sebenar daripada kerajaan.
Beliau menegaskan bahawa kegagalan mengurus kos sara hidup bukan lagi isu persepsi tetapi telah menjadi kegagalan pentadbiran yang nyata, berpanjangan dan terus membebankan rakyat Sabah tanpa penyelesaian konkrit.
Tambah beliau, keadaan menjadi lebih mengecewakan apabila kementerian terus cuba menampilkan imej seolah-olah berjaya sedangkan realiti sebenar menunjukkan rakyat Sabah semakin terbeban dan bukannya semakin lega.
Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa sudah tiba masanya kerajaan mengakui secara jujur bahawa Datuk Armizan Mohd Ali gagal memberi impak bermakna dalam menangani krisis kos sara hidup rakyat Sabah walaupun memegang portfolio khas yang diwujudkan untuk melindungi rakyat daripada tekanan ekonomi.
Menurut beliau, selagi kerajaan terus menafikan realiti sebenar di Sabah, selagi itulah rakyat akan terus menanggung beban bukan kerana mereka malas bekerja tetapi kerana gagal dibela oleh mereka yang memegang kuasa.