KOTA KINABALU: Pengarah Komunikasi Strategik Parti Warisan, Christopher Masudal menggesa Kerajaan Persekutuan supaya mengecualikan Sabah sepenuhnya daripada cadangan penarikan subsidi minyak bagi golongan T20 sekiranya cadangan tersebut diluluskan.
Menurut beliau, cadangan oleh Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) itu merupakan satu lagi contoh pendekatan “satu polisi untuk semua” oleh Putrajaya yang gagal memahami realiti kehidupan rakyat Sabah.
Katanya, di Sabah, sebuah isi rumah yang memperoleh pendapatan kasar RM9,160 sebulan sudah diklasifikasikan sebagai T20 namun keadaan tersebut tidak bermaksud mereka hidup mewah.
Beliau berkata bagi kebanyakan rakyat Sabah, pendapatan tersebut hanyalah cukup untuk meneruskan kelangsungan hidup dalam keadaan kos sara hidup yang semakin meningkat.
Menurut Christopher, data MyCensus2020 menunjukkan isi rumah T20 di Sabah telah membelanjakan 26.5 peratus daripada pendapatan untuk perumahan, air, elektrik dan bahan api, 17.3 peratus untuk makanan serta 16.8 peratus untuk pengangkutan.
Katanya, baki pendapatan yang tinggal pula perlu digunakan bagi menampung komitmen lain termasuk bayaran PTPTN, pinjaman rumah, penjagaan anak, ibu bapa yang semakin berusia serta tanggungan ahli keluarga yang masih bersekolah.
Beliau menegaskan bahawa penarikan subsidi minyak daripada golongan tersebut bukan menyasarkan orang kaya tetapi akan terus menekan golongan kelas pertengahan Sabah yang bekerja keras.
Dalam kenyataan sama, Christopher turut menyifatkan sistem klasifikasi T20 sebagai sistem yang mempunyai kelemahan asas kerana hanya mengambil kira pendapatan kasar isi rumah secara gabungan tanpa menilai komitmen kewangan sebenar sesebuah keluarga.
Katanya, pasangan muda yang kedua-duanya bekerja dan menanggung hutang secara automatik diklasifikasikan sebagai golongan kaya walaupun hakikatnya mereka masih bergelut dengan tekanan kewangan harian.
Beliau turut mengingatkan Putrajaya supaya berhenti menyamakan struktur pendapatan Sabah dengan negeri-negeri seperti Kuala Lumpur dan Selangor.
Menurut beliau, Sabah mempunyai struktur kos sara hidup, cabaran infrastruktur dan realiti ekonomi tersendiri yang sering diabaikan oleh pembuat dasar yang terlalu berpusat kepada Semenanjung Malaysia.
Christopher turut membangkitkan kebimbangan terhadap kesan dasar tersebut kepada golongan perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (MSME) di Sabah.
Katanya, ramai usahawan MSME kini sedang berdepan tekanan pembiayaan bank, pematuhan e-Invois, kewajipan SST, kenaikan kos bahan mentah, peningkatan tarif elektrik dan yuran pelesenan.
Beliau berkata golongan usahawan ini merupakan tulang belakang ekonomi Sabah namun ramai daripada mereka diklasifikasikan sebagai T20 hanya kerana kaedah pengiraan pendapatan isi rumah.
Menurut beliau, menarik subsidi minyak daripada mereka ketika ini bukan reformasi ekonomi tetapi satu bentuk hukuman terhadap golongan yang sedang berusaha mempertahankan kelangsungan perniagaan.
Dalam kenyataan tersebut, Christopher turut mempersoalkan mengapa Kerajaan Madani masih gagal menyelesaikan RM33.3 bilion bayaran balik cukai tertunggak kepada perniagaan dan usahawan di Malaysia.
Katanya, komuniti perniagaan Sabah memerlukan ruang untuk bernafas dan bukannya tekanan tambahan daripada Putrajaya.
Beliau turut menegaskan bahawa komuniti Cina Sabah merupakan antara penyumbang paling penting dan berdaya tahan kepada pembangunan ekonomi negeri sejak sekian lama.
Menurut beliau, cadangan penarikan subsidi tersebut akan memberi kesan yang tidak seimbang kepada komuniti usahawan dan peniaga Sabah termasuk masyarakat Cina yang banyak menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi tempatan.
Christopher berkata isu tersebut bukan sekadar perdebatan mengenai statistik tetapi melibatkan persoalan sama ada Kerajaan Persekutuan benar-benar menghormati kedudukan unik Sabah dan pengorbanan rakyat negeri ini.
Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh rakyat Sabah tanpa mengira kaum, agama atau fahaman politik supaya bersatu menolak sebarang dasar yang menambah beban rakyat tanpa memahami realiti sebenar di peringkat akar umbi.
Beliau turut menggesa Ketua Menteri Sabah supaya secara rasmi membangkitkan perkara tersebut di Kabinet Persekutuan dan menuntut pengecualian Sabah sebelum sebarang pelaksanaan dibuat.
Tegas beliau, suara Sabah mesti didengari dan Parti Warisan akan memastikan perkara itu terus diperjuangkan.
Rujukan: MyCensus DOSM T20