SANDAKAN: ADUN N50 Gum-Gum, Yang Berhormat Arunarnsin Taib sekali lagi mengusulkan cadangan bagi menaik taraf Tamu Gum-Gum sebagai pusat persinggahan pelancong serta kawasan Rehat dan Rawat (R&R) demi memberi keselesaan kepada pengguna jalan raya dan membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada penduduk setempat.
Menurut beliau, kawasan Tamu Gum-Gum mempunyai potensi besar untuk dibangunkan sebagai lokasi persinggahan strategik selain mampu menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi masyarakat sekitar.
Katanya, cadangan tersebut turut merangkumi usaha menjadikan Tamu Gum-Gum sebagai pusat kebudayaan, kraftangan dan pasar tempatan dengan menyediakan ruang jualan bagi cenderamata, pakaian tradisional, hasil kraftangan, produk warisan etnik serta hasil jualan penduduk setempat.
Beliau berkata usaha tersebut bukan sahaja mampu membantu meningkatkan pendapatan masyarakat tempatan tetapi juga memperkenalkan budaya dan identiti masyarakat Sabah kepada para pelancong.
Tambahnya, beliau tidak akan berputus asa dalam memperjuangkan pembangunan dan kemudahan bagi memastikan kawasan Gum-Gum terus berkembang dan memberi manfaat kepada rakyat khususnya dari sudut ekonomi, pelancongan dan peluang perniagaan.
Dalam masa sama, Arunarnsin turut memohon agar kerajaan menilai semula pelan pembangunan yang pernah dicadangkan ketika beliau masih berada dalam blok kerajaan sebelum ini.
Menurut beliau, kawasan Tamu Gum-Gum wajar diberikan perhatian sewajarnya dan dimasukkan sebagai salah satu lokasi pembangunan berpotensi tinggi yang mampu menjadi pusat persinggahan pelancong, kebudayaan dan ekonomi masyarakat setempat.
Beliau turut mempersoalkan sampai bila rakyat dan masyarakat Gum-Gum perlu terus menunggu tanpa melihat perkembangan yang nyata sedangkan kawasan tersebut mempunyai potensi besar untuk dibangunkan demi manfaat generasi akan datang.
Katanya, perkara tersebut menjadi semakin penting khususnya dalam era generasi Gen Z yang semakin menuntut keseimbangan antara pembangunan, peluang ekonomi dan pemeliharaan nilai budaya dalam arus kemajuan semasa.