INANAM: Pesta Kaamatan Peringkat Kg. Kionsom yang berlangsung di Mini Dewan Kg. Kionsom, Inanam disambut dengan penuh meriah serta mencerminkan semangat perpaduan, kebersamaan dan keharmonian komuniti setempat.
Program tersebut turut diserikan dengan kehadiran Ketua Penerangan Warisan, Datuk Azis Jamman merangkap Ketua Bahagian Sepanggar yang hadir bagi meraikan sambutan tradisi masyarakat Kadazan-Dusun serta menghargai warisan budaya Sabah yang terus dipelihara hingga hari ini.
Turut menyemarakkan program ialah PPM N.18 Inanam, Tuan Nickho Unui bersama para pemimpin komuniti serta tetamu jemputan lain.
Program anjuran bersama Kadazan Dusun Cultural Association Cawangan Kionsom, Badan Komuniti Wanita Kionsom Inanam serta KRT Kg. Kionsom-Kobuni itu turut menampilkan pelbagai pengisian menarik yang menyerlahkan keunikan adat, budaya dan tradisi Kaamatan dalam suasana harmoni dan penuh kemeriahan.
Menurut Azis Jamman kepelbagaian budaya di Sabah merupakan kekuatan utama yang perlu terus dipelihara.
“Indahnya budaya di Sabah. Kepelbagain kaum, bangsa dan agama di Sabah sebenarnya adalah kekuatan yang wajar di pelihara dan di pertahankan. Salam Kaamatan buat semua rakan-rakan dan keluarga yang meraikan bulan Kaamatan di Negeri Sabah.”
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Inanam, YB Edna Majimbun turut hadir memeriahkan majlis. Menurut beliau, sambutan Kaamatan bukan sekadar perayaan, tetapi lambang perpaduan dan identiti masyarakat Sabah.
“Terima kasih atas sambutan yang begitu mesra daripada seluruh penduduk kampung, para pemimpin komuniti serta semua yang hadir memeriahkan majlis ini. Pesta Kaamatan bukan sekadar perayaan, tetapi lambang perpaduan, penghargaan terhadap budaya warisan serta semangat kekitaan yang harus terus dipelihara dari generasi ke generasi.
Melihat masyarakat berkumpul dalam suasana harmoni dan penuh kegembiraan seperti ini benar-benar memberi semangat untuk terus bersama rakyat dan mendengar sendiri suara komuniti di akar umbi.”
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak penganjur atas kejayaan menganjurkan program yang bukan sahaja mengeratkan silaturahim, malah memperkukuhkan perpaduan masyarakat setempat.
Tahniah dan syabas diucapkan kepada seluruh penganjur serta penduduk Kg. Kionsom atas kejayaan menganjurkan sambutan Kaamatan yang penuh bermakna dan meriah untuk komuniti setempat.