TERKINI
Azis Jamman Gesa Kerajaan Utamakan Kemanusiaan Dalam Isu Perobohan Kampung Likas Lama
Tempatan 2 min baca 223 tontonan

Azis Jamman Gesa Kerajaan Utamakan Kemanusiaan Dalam Isu Perobohan Kampung Likas Lama

Ringkasan

Azis Jamman gesa kerajaan utamakan kemanusiaan, sediakan penempatan adil sebelum roboh, pertahan hak penduduk tempatan, elak label pendatang tanpa asas

Baca dalam:
Admin
Admin
Salin URL mengikut bahasa

KOTA KINABALU: Ketua Bahagian Parti Warisan Sepanggar, Mohd Azis Jamman menggesa kerajaan negeri agar mengutamakan aspek kemanusiaan dalam menangani isu perobohan perkampungan di Likas Lama, Lembaga Padi serta beberapa kawasan berhampiran.

Beliau berkata, isu berkenaan tidak boleh dilihat semata-mata dari sudut pembangunan atau penguatkuasaan undang-undang kerana ia turut melibatkan soal maruah dan tanggungjawab kerajaan terhadap rakyat.

Menurutnya, sekiranya terdapat keperluan untuk mengambil alih kawasan tersebut, tindakan itu perlu disertai dengan penyelesaian yang adil dan berperikemanusiaan.

“Penduduk yang terlibat bukan golongan berkemampuan. Mereka telah menetap di kawasan itu sejak puluhan tahun, malah ada yang mencecah lebih 40 tahun, membina kehidupan dan keluarga mereka di sana,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau turut menegaskan bahawa penduduk yang terlibat merupakan warga negara Malaysia yang memiliki kad pengenalan sah serta terdiri daripada pelbagai kaum termasuk Bajau, Bugis, Brunei, Suluk dan Kagayan.

Katanya lagi, keadaan menjadi lebih membimbangkan apabila anak-anak penduduk yang masih bersekolah kini berdepan ketidaktentuan mengenai masa depan persekolahan mereka sekiranya perobohan diteruskan tanpa penyelesaian sewajarnya.

Sehubungan itu, beliau berpandangan bahawa tindakan perobohan tanpa menyediakan alternatif penempatan yang munasabah adalah tidak wajar dan mencerminkan kegagalan memahami realiti kehidupan rakyat di peringkat akar umbi.

Dalam pada itu, Mohd Azis turut meminta agar tiada pihak membuat andaian tidak berasas dengan melabelkan penduduk terbabit sebagai pendatang tanpa izin.

“Tuduhan sebegini bukan sahaja tidak adil, malah berpotensi mengeruhkan keadaan dan menafikan hak rakyat tempatan yang sah,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan sebagai payung kepada rakyat tidak boleh sekadar melaksanakan dasar tanpa mengambil kira kesan terhadap kehidupan manusia.

“Pembangunan tidak boleh mengorbankan kebajikan rakyat, apatah lagi mereka yang berada dalam keadaan serba kekurangan,” katanya.

Justeru itu, beliau menggesa kerajaan negeri menyediakan pelan penempatan semula yang jelas, adil dan berperikemanusiaan sebelum sebarang tindakan perobohan dilaksanakan.

Dalam kenyataan sama, beliau turut mempersoalkan tindakan kerajaan yang menurutnya mahu menggazet dan membangunkan semula Kampung Bahagia walaupun didakwa mempunyai kira-kira 30 peratus penghuni bukan warganegara, namun penduduk Kampung Likas Lama yang majoritinya rakyat tempatan masih belum diberikan penempatan sebelum rumah mereka dirobohkan.

Pada masa sama, beliau menegaskan bahawa sekiranya terdapat penghuni yang didapati merupakan warga asing yang memasuki Sabah secara haram, beliau menyokong penuh tindakan pihak berkuasa untuk menangkap, mendakwa dan menghantar mereka pulang ke negara asal.

Jumpa kesilapan (terjemahan, makna atau ejaan)? Bantu kami dengan melaporkan.

Admin
Penulis

Admin

Admin Warisan Portal bertanggungjawab mengurus dan menerbitkan kenyataan media, artikel serta maklumat rasmi Parti Warisan kepada orang awam.

Artikel Berkaitan

Komen (0)

Jadilah yang pertama memberikan komen!

Sila log masuk untuk meninggalkan komen.

Log Masuk