TERKINI
CHIN TEK MING: ARMIZAN KELIRU ANTARA GERAN KHAS DAN HAK 40 PERATUS PERLEMBAGAAN SABAH
MA63 3 min baca 893 tontonan

CHIN TEK MING: ARMIZAN KELIRU ANTARA GERAN KHAS DAN HAK 40 PERATUS PERLEMBAGAAN SABAH

Ringkasan

ADUN N.25 Kapayan, Chin Tek Ming menyifatkan kenyataan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berhubung hak 40 peratus Sabah sebagai mengelirukan kerana mencampur-adukkan antara geran khas interim dan hak perlembagaan Sabah yang termaktub di bawah Perkara 112C dan Jadual Kesepuluh Perlembagaan Persekutuan.

Admin
Admin

KOTA KINABALU — ADUN N.25 Kapayan, Chin Tek Ming mempersoalkan kenyataan Datuk Armizan Mohd Ali berhubung hak 40 peratus hasil Sabah dengan menyatakan bahawa Menteri Persekutuan itu telah mengelirukan rakyat mengenai perbezaan antara geran khas dan hak perlembagaan Sabah terhadap 40 peratus hasil bersih Persekutuan yang diperoleh daripada negeri ini. 

Menurut beliau, hak 40 peratus Sabah bukanlah suatu bentuk ihsan politik, bantuan khas atau dana tambahan yang tertakluk kepada budi bicara Kerajaan Persekutuan, sebaliknya merupakan hak yang telah dijamin secara jelas di bawah Perkara 112C dan Jadual Kesepuluh Perlembagaan Persekutuan. 

Beliau berkata persoalan utama yang masih gagal dijawab ialah mengapa Sabah masih perlu menunggu persetujuan Kerajaan Persekutuan untuk menaikkan kadar bayaran sedangkan hak tersebut telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. 

“Jika benar Kerajaan Persekutuan mengiktiraf hak tersebut, maka pelaksanaannya sepatutnya berlaku berdasarkan kewajipan perlembagaan dan bukannya bergantung kepada rundingan politik yang tidak berkesudahan,” katanya. 

Chin turut menegaskan bahawa kenyataan kononnya kerajaan yakin Kerajaan Persekutuan akan bersetuju menaikkan kadar bayaran menunjukkan salah faham terhadap kedudukan sebenar hak Sabah. Beliau menegaskan bahawa Sabah tidak meminta kenaikan bayaran secara sukarela, sebaliknya menuntut pelaksanaan penuh hak perlembagaannya mengikut formula yang sah dan telus. 

Menurut beliau, Perlembagaan Persekutuan merupakan undang-undang tertinggi negara yang mengikat semua pihak termasuk Kerajaan Persekutuan dan tidak boleh dianggap sebagai dokumen yang hanya dilaksanakan apabila terdapat persetujuan politik. 

Beliau juga berpandangan bahawa kenyataan Armizan terus mencampur-adukkan antara geran khas interim dengan tuntutan sebenar 40 peratus hasil bersih Persekutuan yang diperoleh daripada Sabah, sedangkan kedua-duanya merupakan perkara yang berbeza dari sudut undang-undang dan prinsip perlembagaan. 

Katanya, bayaran interim atau kenaikan tertentu tidak bermaksud isu hak 40 peratus Sabah telah diselesaikan secara muktamad, memandangkan pertikaian tersebut masih berada dalam proses perundangan dan rayuan di mahkamah. 

Dalam kenyataan itu, beliau turut mempersoalkan tindakan membanggakan angka RM600 juta sebagai pencapaian eksklusif kerajaan semasa, sedangkan peningkatan geran khas tersebut menurutnya telah bermula sejak pentadbiran Warisan. 

Beliau berkata rakyat Sabah kini mahukan ketelusan mengenai formula rasmi pengiraan 40 peratus, jumlah sebenar hasil Persekutuan yang diperoleh daripada Sabah, kaedah pengiraan yang digunakan serta sama ada hak tersebut benar-benar dilaksanakan menurut kehendak Perlembagaan Persekutuan. 

“Tanpa ketelusan sedemikian, rakyat Sabah hanya disajikan dengan naratif politik tanpa kepastian institusi,” katanya. 
Dalam masa sama, Chin berpandangan bahawa Armizan sepatutnya memberi fokus kepada tanggungjawab beliau sebagai Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup memandangkan rakyat Sabah kini berdepan tekanan kos sara hidup yang semakin meningkat. 

Beliau berkata harga barang keperluan terus meningkat, kos logistik masih membebankan pengguna Sabah, jurang harga antara Sabah dan Semenanjung masih ketara, manakala kuasa beli rakyat semakin lemah. 

Menurutnya, daripada terus mengelirukan rakyat mengenai isu 40 peratus melalui tafsiran yang tidak tepat, lebih baik perhatian diberikan kepada usaha menangani tekanan kos sara hidup yang sedang dihadapi rakyat setiap hari. 

Chin turut menyatakan bahawa walaupun Usul Kapayan sebelum ini ditolak, kerajaan GRS kini dilihat mula mengambil isu hak 40 peratus Perlembagaan Sabah dengan lebih serius. Beliau berharap jumlah tuntutan RM3.019 bilion yang diumumkan oleh Menteri Kewangan Sabah baru-baru ini tidak sekadar menjadi unjuran politik, sebaliknya dapat direalisasikan sepenuhnya demi kepentingan rakyat Sabah. 

Beliau menegaskan bahawa hak 40 peratus Sabah bukan bahan propaganda politik, slogan atau alat pengurusan persepsi, tetapi merupakan hak perlembagaan yang wajib dihormati, dilaksanakan dan dikuatkuasakan sepenuhnya mengikut undang-undang tertinggi negara.

Jumpa kesilapan (terjemahan, makna atau ejaan)? Bantu kami dengan melaporkan.

Admin
Penulis

Admin

Admin Warisan Portal bertanggungjawab mengurus dan menerbitkan kenyataan media, artikel serta maklumat rasmi Parti Warisan kepada orang awam.

Artikel Berkaitan

Komen (0)

Jadilah yang pertama memberikan komen!

Sila log masuk untuk meninggalkan komen.

Log Masuk