PENAMPANG: Wira Warisan Penampang, Melvin Lo menggesa kerajaan negeri supaya mendapatkan komitmen rasmi dan bertulis daripada Perdana Menteri berhubung bayaran interim sebanyak RM3.019 bilion kepada Sabah yang perlu dibayar setiap tahun bermula 2026 sehingga penyelesaian penuh hak 40% Sabah dimuktamadkan.
Menurut beliau, Sabah tidak boleh terus dipaksa menunggu tanpa kepastian sedangkan hak perlembagaan negeri telah terlalu lama tertangguh.
Katanya, rakyat Sabah berhak mendapat jaminan yang jelas dan bukannya sekadar janji bahawa perkara tersebut “masih dalam rundingan”.
Beliau berkata kerajaan negeri juga tidak seharusnya terus bermain dengan istilah seperti “rundingan positif” atau “hubungan baik dengan Putrajaya” tanpa menunjukkan hasil yang nyata kepada rakyat.
Tambahnya, jika kerajaan benar-benar serius mempertahankan hak Sabah, maka bayaran interim tahunan tersebut perlu dijamin segera sebagai sebahagian daripada pembayaran hak perlembagaan Sabah dan bukannya dianggap sebagai ihsan politik yang boleh berubah mengikut keadaan semasa.
Dalam masa sama, Melvin turut mempersoalkan sama ada kerajaan negeri hari ini hanya kelihatan lebih berani menuntut hak Sabah selepas menerima tekanan daripada pembangkang serta usul berkaitan tuntutan 40% yang dibawa sebelum ini.
Menurutnya, sebelum isu tersebut mendapat perhatian rakyat secara meluas, kerajaan negeri dilihat terlalu berhati-hati dan tidak berani bercakap secara tegas mengenai hak Sabah.
Beliau berkata selama ini rakyat lebih banyak mendengar kenyataan berbentuk diplomatik berbanding desakan yang benar-benar kuat terhadap Kerajaan Persekutuan.
Tambah beliau, rakyat juga melihat bagaimana kerajaan negeri kebelakangan ini terlalu sibuk mempertahankan diri daripada pelbagai kontroversi termasuk video skandal rasuah yang dikaitkan dengan kepimpinan mereka.
Persoalnya, adakah keadaan tersebut menyebabkan kerajaan negeri kehilangan keberanian untuk berdepan dengan Putrajaya secara tegas dalam isu hak Sabah.
Katanya, hanya selepas menerima tekanan bertalu-talu dan kelemahan mereka mula dipersoalkan secara terbuka, barulah kerajaan cuba tampil sebagai “wira” dalam memperjuangkan hak Sabah.
Namun begitu, beliau menegaskan bahawa rakyat Sabah bijak menilai dan mampu membezakan antara perjuangan yang konsisten sejak awal dengan tindakan panik apabila kedudukan politik sendiri mula tergugat.
Menurut Melvin, hak Sabah bukan isu bermusim dan bukan alat untuk menutup kelemahan politik mana-mana pihak.
Tegas beliau, hak Sabah mesti diperjuangkan secara konsisten, berani dan tanpa tunduk kepada tekanan politik pusat.
Melvin Lo
Wira Warisan Penampang