TANJUNG ARU, 16 Mei 2026– Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Aru, Wong Hong Jun, hari ini menggesa pihak kerajaan agar mengambil tindakan segera berhubung kebajikan bekas penghuni Rumah Pangsa Tanjung Aru yang kini dilaporkan hidup dalam keadaan amat daif.
Menerusi satu kenyataan media yang dikeluarkan hari ini bertajuk *"ISU BEKAS RUMAH PANGSA TANJUNG ARU 5.0 160526"*, beliau menjelaskan situasi terkini hasil tinjauan mesra yang dilakukan di kawasan tersebut.
Berikut merupakan kenyataan penuh beliau:
Hari ini saya turun padang ke kawasan Tanjung Aru selepas menerima aduan berkenaan bekas penghuni Rumah Pangsa Tanjung ARU yang kini terpaksa tinggal di kawasan hutan berhampiran rumah pangsa tersebut dengan mendirikan khemah sendiri sebagai tempat berteduh.
Bekas penghuni tersebut memaklumkan kepada saya bahawa beliau masih belum menerima rumah seperti yang pernah dijanjikan oleh pihak kerajaan, sebagaimana perkara ini telah beberapa kali saya bangkitkan dalam Sidang Dewan Undangan Negeri sebelum ini.
Keadaan ini amat menyedihkan apabila melihat rakyat kita yang mempunyai kad pengenalan sah terpaksa hidup dalam keadaan yang begitu daif akibat ketidakmampuan dari segi kewangan untuk menyewa rumah.
Orang ramai boleh melihat sendiri keadaan sebenar melalui video yang saya sertakan. Keadaan tempat tinggal mereka amat menyayat hati dan memerlukan perhatian segera daripada pihak berkaitan.
Saya akan sekali lagi membawa isu ini ke Sidang DUN yang akan datang. Pada masa yang sama, saya amat berharap pihak kerajaan dapat mengambil tindakan segera dengan mencari penyelesaian terbaik, termasuk mempertimbangkan pemberian rumah melalui bantuan dan inisiatif perumahan kerajaan yang sedia ada.
Kebajikan rakyat, khususnya golongan yang benar-benar memerlukan tempat tinggal yang selamat dan sempurna, tidak boleh terus dipinggirkan.
Menurut Wong Hong Jun, isu penempatan ini akan terus diperjuangkan dan bakal dibawa semula ke persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan datang demi memastikan nasib golongan yang terjejas mendapat pembelaan sewajarnya.