Namun menurut beliau, isu yang sedang dipersoalkan oleh rakyat bukan sekadar berkaitan gaya komunikasi atau kemungkinan maklumat dimanipulasi, sebaliknya melibatkan persoalan sama ada seorang penjawat awam kanan yang memegang jawatan strategik dalam kerajaan masih layak meneruskan tanggungjawab tersebut selepas mengeluarkan kenyataan yang menyentuh sensitiviti kaum dan berpotensi menjejaskan keharmonian masyarakat.
Beliau berkata sebagai Ketua Pengarah J-KOM, Mohd Hisyamuddin sepatutnya menjadi contoh dalam mempromosikan perpaduan nasional, keharmonian masyarakat dan komunikasi yang bertanggungjawab.
“Sebaliknya, penggunaan istilah seperti ‘Cina Sesat’ merupakan ungkapan yang amat tidak wajar, bersifat menghina dan boleh ditafsirkan sebagai melabel serta memperlekehkan sesuatu komuniti berdasarkan kaum,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Tham, Malaysia merupakan sebuah negara majmuk yang dibina atas asas saling menghormati antara kaum dan agama. Oleh itu, individu yang dipilih untuk mengetuai agensi komunikasi kerajaan perlu mempunyai rekod serta sikap yang mencerminkan nilai perpaduan nasional.
Beliau turut melahirkan kebimbangan apabila kerajaan sering mengingatkan rakyat supaya mengelakkan kenyataan yang menyentuh isu kaum, agama dan institusi diraja (3R), namun apabila seorang pegawai kanan kerajaan sendiri dikaitkan dengan kenyataan yang menyentuh sensitiviti kaum, tindakan yang diambil hanya berupa nasihat.
“Keadaan ini menimbulkan persepsi bahawa wujud dua standard berbeza dalam pelaksanaan prinsip perpaduan dan keharmonian negara,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berpandangan bahawa Menteri Komunikasi tidak seharusnya sekadar memberikan nasihat, sebaliknya kerajaan perlu mengambil tindakan yang lebih tegas sekiranya benar-benar serius mempertahankan perpaduan nasional dan menolak sebarang bentuk retorik perkauman.
Tham menegaskan bahawa jawatan Ketua Pengarah J-KOM bukan hak mutlak mana-mana individu, sebaliknya merupakan amanah awam yang menuntut tahap integriti, profesionalisme dan kepekaan yang tinggi terhadap kepelbagaian rakyat Malaysia.
“Rakyat berhak mempunyai keyakinan bahawa agensi komunikasi kerajaan dipimpin oleh individu yang mampu menyatukan rakyat, bukannya tokoh yang membawa kontroversi dan persepsi perkauman,” katanya.
Beliau berkata Kerajaan Madani sering menekankan nilai hormat, ihsan dan perpaduan dalam pentadbiran negara. Oleh itu, kerajaan perlu membuktikan bahawa prinsip tersebut bukan sekadar slogan politik, tetapi diterjemahkan melalui tindakan yang konsisten tanpa mengira kedudukan atau jawatan seseorang.
Menurut beliau, jika kerajaan benar-benar komited terhadap perpaduan nasional, tindakan yang sewajarnya perlu diambil bagi memastikan kredibiliti J-KOM serta keyakinan rakyat terhadap institusi kerajaan terus terpelihara.
“Kerajaan perlu menunjukkan bahawa tiada sesiapa yang mengatasi prinsip akauntabiliti dan tanggungjawab awam, lebih-lebih lagi apabila melibatkan isu yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat majmuk negara ini,” katanya.