KENYATAAN MEDIA
16 April 2026
- Laporan yang bercanggah dari Indonesia serta kenyataan Kerajaan Negeri Sabah mengenai sempadan Sebatik adalah serius dan menimbulkan persoalan asas yang perlu dijawab.
- Pegawai Indonesia telah secara terbuka menyebut angka khusus termasuk 127.3 hektar yang didakwa berada dalam wilayah mereka. Sebaliknya, Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor menafikan sebarang pemindahan sedemikian tanpa memberikan butiran lanjut.
- Kita kini mendengar kenyataan yang semakin terperinci daripada pihak berautoriti di Jakarta, termasuk angka yang tepat, namun tiada respons yang sama jelas, terperinci atau tegas daripada pihak kita sendiri.
- Rakyat Sabah berhak mengetahui dengan jelas apa yang telah dibincangkan, apa yang telah dipersetujui dan sama ada sebarang pendirian telah diambil bagi pihak mereka.
- Saya telah membangkitkan perkara ini dalam persidangan Parlimen yang lalu kerana ia melibatkan kedaulatan, keutuhan wilayah dan hak perlembagaan Sabah.
- Perkara 2(b) Perlembagaan Persekutuan, dibaca bersama provisonya, menetapkan bahawa sebarang undang-undang yang mengubah sempadan negeri mesti mendapat persetujuan Dewan Undangan Negeri berkenaan serta Majlis Raja-Raja. Ini merupakan kewajipan perlembagaan dan sebarang tindakan yang memintas proses ini akan menimbulkan implikasi perlembagaan yang serius.
- Perbincangan dan rundingan antara negara adalah perkara biasa, namun ia tidak bermaksud suatu perjanjian telah dimeterai. Sebarang keputusan yang menjejaskan wilayah Sabah mesti dibentangkan di Dewan Undangan Negeri Sabah (DUN) dan mematuhi sepenuhnya kehendak perlembagaan.
- Setakat yang diketahui umum, perkara ini belum dibentangkan mahupun dibahaskan di DUN Sabah.
- Rakyat Sabah tidak seharusnya bergantung kepada maklumat yang tidak lengkap sedangkan negara lain menyatakan secara terperinci. Ini bukan cara isu kedaulatan harus dikendalikan.
- Kerajaan Negeri Sabah mesti mengambil pendirian yang jelas dan tegas kerana sikap berdiam diri hanya akan menambah keraguan rakyat.
- Oleh itu, saya menggesa agar perkara ini dibentangkan dengan segera dan dibahaskan sepenuhnya dalam persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah yang akan datang pada 27 April 2026.
- Rakyat berhak mendapat penjelasan. Dewan mesti dirujuk dan Perlembagaan mesti dipatuhi tanpa pengecualian.
TAMAT
DATUK SERI PANGLIMA MOHD SHAFIE BIN HJ APDAL
Presiden Warisan