KENYATAAN MEDIA: ISU TUNTUTAN 40% SABAH - KERAJAAN NEGERI TIDAK BOLEH TERUS BERLINDUNG DI SEBALIK RUNDINGAN TANPA PENGHUJUNG
SANDAKAN: ADUN Elopura, YB Calvin Chong menyelar kenyataan pimpinan kerajaan yang terus cuba mengelirukan rakyat berhubung isu tuntutan hak 40 peratus Sabah, sedangkan persoalan paling utama masih gagal dijawab iaitu mengapa usul berkaitan tuntutan tersebut tidak dibenarkan untuk dibahaskan secara terbuka di Dewan Undangan Negeri (DUN).
Menurut beliau, rakyat Sabah berhak mengetahui pendirian rasmi kerajaan negeri mengenai tuntutan berkenaan dan bukannya sekadar diberikan angka interim hasil rundingan yang tidak mencerminkan hak sebenar Sabah seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Katanya, kerajaan tidak boleh terus menggunakan alasan rundingan demi rundingan sedangkan isu ini sudah berlarutan berdekad lamanya kerana Sabah bukan meminta ihsan, tetapi menuntut hak yang sememangnya termaktub dalam Perlembagaan.
Beliau turut menegaskan bahawa bayaran interim yang diumumkan sebelum ini tidak boleh dianggap sebagai penyelesaian muktamad kepada tuntutan 40 peratus Sabah.
Menurutnya, geran interim dan hak 40 peratus adalah dua perkara yang berbeza kerana bayaran interim hanyalah jumlah sementara hasil rundingan politik, manakala tuntutan 40 peratus merupakan hak perlembagaan berdasarkan hasil sebenar yang dikutip oleh kerajaan Persekutuan dari Sabah.
Calvin turut mempersoalkan mengapa kerajaan negeri masih enggan mendedahkan data lengkap hasil sebenar yang diperoleh Persekutuan daripada Sabah bagi membolehkan pengiraan tuntutan dibuat secara telus dan tepat.
Beliau berkata, jika kerajaan benar-benar serius mempertahankan hak Sabah, maka angka sebenar perlu dibentangkan kepada rakyat kerana tanpa ketelusan data, rakyat sukar yakin bahawa Sabah menerima jumlah yang sewajarnya.
Dalam pada itu, beliau berkata tindakan menolak usul berkaitan tuntutan 40 peratus di DUN hanya menimbulkan persepsi bahawa kerajaan cuba mengelakkan perbahasan terbuka serta enggan merekodkan pendirian rasmi mereka di dalam Hansard.
Katanya, DUN sepatutnya menjadi platform tertinggi untuk membincangkan hak rakyat Sabah dan bukannya menutup ruang perbahasan terhadap isu yang melibatkan hak perlembagaan negeri.
Tambah beliau, isu tuntutan 40 peratus tidak sepatutnya dijadikan bahan politik untuk saling menyalahkan pentadbiran terdahulu kerana sehingga hari ini rakyat masih belum melihat penyelesaian yang benar-benar konkrit.
Menurutnya, sudah beberapa kali kerajaan bertukar namun rakyat masih mendengar alasan yang sama sedangkan apa yang diperlukan sekarang ialah tindakan, garis masa yang jelas dan komitmen politik yang tegas untuk mempertahankan hak Sabah.
Beliau turut mengingatkan bahawa kegagalan menyelesaikan isu tersebut akan terus memberi kesan besar kepada pembangunan Sabah termasuk aspek infrastruktur, bekalan air, elektrik, pendidikan dan kesihatan yang memerlukan sumber kewangan mencukupi.
Katanya, jika hak Sabah dikembalikan sepenuhnya, negeri ini mempunyai kemampuan lebih besar untuk menyelesaikan banyak masalah asas yang selama ini membebankan rakyat.
Sehubungan itu, Calvin menggesa kerajaan negeri supaya lebih telus dan berani membawa pendirian yang jelas demi memastikan hak Sabah tidak terus tertangguh tanpa penyelesaian.
Tegas beliau, rakyat Sabah hari ini semakin matang dan mampu menilai siapa yang benar-benar berjuang mempertahankan hak negeri dan siapa yang sekadar bermain retorik politik.
TAMAT