TERKINI
Hentikan Naratif “Sedang Berunding” Tanpa Pelan Jelas Terhadap Hak 40% Sabah
MA63 3 min baca 708 tontonan

Hentikan Naratif “Sedang Berunding” Tanpa Pelan Jelas Terhadap Hak 40% Sabah

Ringkasan

ADUN Sungai Sibuga, YB Nurulalsah Hassan Alban mempersoalkan naratif berulang kerajaan GRS yang terus menggunakan istilah “masih berunding” dan “masih komited” dalam isu tuntutan 40% Sabah tanpa pelan pelaksanaan, garis masa serta mekanisme tuntutan yang jelas.

Beliau berkata rakyat Sabah sudah terlalu lama mendengar retorik politik berkaitan rundingan hak 40% sedangkan sehingga hari ini masih tiada penyelesaian muktamad berdasarkan formula asal yang termaktub di bawah MA63 dan Laporan IGC 1962.

Baca dalam:
Admin
Admin
Salin URL mengikut bahasa

KOTA KINABALU: ADUN Sungai Sibuga, YB Nurulalsah Hassan Alban mengambil maklum kenyataan terbaru Datuk Joniston Bangkuai yang sekali lagi mendakwa kerajaan GRS “komited” dan isu tuntutan 40% Sabah masih berada dalam proses rundingan.

Menurut beliau, kenyataan tersebut hanya mengulangi naratif lama tanpa menjawab persoalan utama mengenai hala tuju sebenar tuntutan hak 40% Sabah.

Katanya, cubaan menjadikan kenaikan Geran Khas kepada RM600 juta serta Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA) Petronas sebagai bukti kejayaan mutlak adalah mengelirukan rakyat.

Beliau menegaskan bahawa rakyat Sabah perlu memahami perbezaan antara menerima “saguhati ihsan” dengan mempertahankan “hak mutlak kedaulatan” Sabah.

Menurut beliau, kenaikan RM600 juta melalui Warta P.U.(A) 271/2025 bukanlah semakan undang-undang yang sah terhadap P.U.(A) 328/1970 yang menjadi asas formula 40% hasil bersih Sabah.

Sebaliknya katanya, warta baharu tersebut hanyalah satu bentuk geran interim atau geran asing ad-hoc yang diwujudkan oleh Kerajaan Persekutuan tanpa mengembalikan formula asal tuntutan 40% secara sebenar.

Beliau berkata dengan meraikan geran tersebut, kerajaan GRS sebenarnya sedang terperangkap dalam permainan politik Persekutuan yang menggantikan hak formula asal dengan bayaran pukal interim.

Nurulalsah turut mengibaratkan keadaan tersebut seperti Sabah memiliki hak ke atas tanah warisan sendiri tetapi akhirnya hanya menerima “diskaun tahunan” daripada pihak lain untuk terus berada di atas tanah tersebut.

Katanya, Sabah merupakan pemilik hak dan bukannya peminta sedekah daripada Kerajaan Persekutuan.

Beliau berkata rakyat Sabah sudah terlalu lama mendengar naratif “masih berunding”, “masih komited” dan “masih dalam proses” tanpa sebarang hasil konkrit yang berlandaskan formula Shared Growth atau Pertumbuhan Bersama yang sepatutnya menjadi asas tuntutan Sabah.

Menurut beliau, selepas bertahun-tahun pentadbiran GRS, kerajaan negeri masih gagal membentangkan pelan pelaksanaan jelas bagi memulihkan formula sebenar 40% Sabah.

Beliau turut mempersoalkan ketiadaan garis masa penyelesaian yang muktamad dan telus serta mekanisme tuntutan yang boleh diaudit oleh rakyat Sabah.

Katanya, sehingga hari ini rakyat hanya melihat siri pewartaan geran tetap seperti Warta 119/2022, 364/2023 dan 271/2025 yang menurut beliau merendahkan martabat hak kewangan Sabah.

Dalam kenyataan sama, Nurulalsah turut membangkitkan persoalan mengenai proses Mahkamah Rayuan yang masih berjalan berkaitan tuntutan tersebut.

Beliau mempersoalkan bagaimana kerajaan negeri boleh terus menggunakan naratif “rundingan harmoni” sedangkan hak Sabah pada masa sama sedang dipertikaikan di mahkamah.

Menurut beliau, rakyat Sabah berhak mengetahui sama ada kerajaan sedang berunding sebagai rakan kongsi yang setara atau sekadar mencari alasan politik untuk mengalah secara perlahan.

Beliau berkata rakyat Sabah kini tidak lagi mahu mendengar alasan politik yang dikitar semula tanpa hasil yang nyata.

Katanya, sekiranya rundingan benar-benar sedang berjalan, maka kerajaan negeri mesti menjelaskan bentuk dan terma rundingan tersebut secara terbuka kepada rakyat.

Beliau turut mempersoalkan sama ada rundingan yang sedang dijalankan benar-benar menuntut hak mutlak formula 40% atau sekadar membincangkan kenaikan elaun tahunan daripada Putrajaya.

Selain itu, beliau mahu kerajaan menjelaskan siapa yang mewakili Sabah dalam rundingan tersebut dan sama ada mereka mempunyai mandat perundangan yang kuat untuk mempertahankan hak negeri.

Nurulalsah turut menuntut penjelasan mengenai bila penyelesaian muktamad akan dicapai sebelum hak Sabah terus tertangguh dan kehilangan nilai sebenar akibat faktor masa.

Beliau menegaskan bahawa istilah “sedang berunding” tidak boleh terus digunakan untuk menidurkan rakyat tanpa hala tuju yang jelas.

Menurut beliau, sebab itulah Usul Kapayan difailkan sebelum ini bagi memaksa ketelusan kerajaan melalui perbahasan di Dewan Undangan Negeri Sabah.

Namun katanya, penolakan usul tersebut hanya menimbulkan persoalan sama ada kerajaan hari ini benar-benar serius mahu menyelesaikan isu hak 40% Sabah atau sekadar menjadikannya sebagai modal propaganda politik bermusim.

Beliau menegaskan bahawa hak 40% Sabah bukan bahan publisiti politik tetapi merupakan hak perlembagaan yang termaktub di bawah Laporan IGC 1962 dan MA63.

Tegas beliau, rakyat Sabah mahukan kebenaran, pelaksanaan serta pemulihan hak kedaulatan Sabah yang sebenar dan bukannya retorik angka pukal yang menurutnya boleh mengorbankan masa depan generasi akan datang.

Jumpa kesilapan (terjemahan, makna atau ejaan)? Bantu kami dengan melaporkan.

Admin
Penulis

Admin

Admin Warisan Portal bertanggungjawab mengurus dan menerbitkan kenyataan media, artikel serta maklumat rasmi Parti Warisan kepada orang awam.

Artikel Berkaitan

Komen (0)

Jadilah yang pertama memberikan komen!

Sila log masuk untuk meninggalkan komen.

Log Masuk