TERKINI
Penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas DUN Sabah Mengenai Hak 40% adalah perlu - Langkah Strategik Demi Masa Depan Negeri.
MA63 3 min baca 279 tontonan

Penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas DUN Sabah Mengenai Hak 40% adalah perlu - Langkah Strategik Demi Masa Depan Negeri.

Ringkasan

DUN Sabah diseru untuk menubuhkan Jawatankuasa Pilihan Khas bagi meneliti tuntutan 40% hasil negeri, menekankan maruah perlembagaan dan keadilan.

Baca dalam:
Admin
Admin
Salin URL mengikut bahasa

Sebagai seorang anak Sabah, saya berpandangan bahawa isu tuntutan 40% hasil negeri Sabah bukan sekadar soal angka atau peruntukan kewangan semata-mata, tetapi menyentuh soal maruah perlembagaan, keadilan Persekutuan–Negeri, serta masa depan pembangunan rakyat Sabah.

Sehubungan itu, saya menyeru agar Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah mempertimbangkan penubuhan satu Jawatankuasa Pilihan Khas (Select Committee) khusus bagi meneliti, menyelaras dan memperkukuhkan pendirian Negeri Sabah berhubung pelaksanaan hak 40% seperti termaktub di bawah Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan.

Penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas ini amat penting kerana ia menyediakan satu platform rasmi legislatif Negeri untuk:

Pertama, mengkaji secara menyeluruh asas perlembagaan tuntutan 40%, termasuk sejarah pelaksanaannya sejak pembentukan Malaysia.

Kedua, menilai jumlah sebenar tunggakan serta implikasi kewangan kepada Negeri Sabah secara telus dan berfakta.

Ketiga, memanggil saksi-saksi berkaitan termasuk pegawai Kerajaan Persekutuan dan Negeri, pakar perlembagaan, pakar kewangan serta wakil masyarakat sivil bagi mendapatkan gambaran menyeluruh.

Keempat, merangka cadangan praktikal dan mekanisme pelaksanaan yang realistik untuk dibawa ke meja rundingan rasmi dengan Kerajaan Persekutuan.

Kelima, memastikan suara rakyat Sabah diwakili secara institusi melalui DUN, bukan hanya melalui perbincangan teknikal di peringkat eksekutif semata-mata.

Adalah penting untuk ditegaskan bahawa penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas DUN Sabah ini tidak bercanggah sama sekali dengan keputusan Mahkamah Tinggi (17 Oktober 2025) baru-baru ini berhubung isu 40%.

Sebaliknya, jawatankuasa ini boleh berperanan sebagai mekanisme sokongan kepada pelaksanaan arahan mahkamah tersebut.

Keputusan mahkamah telah mengarahkan supaya proses semakan dan rundingan bersama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri dilaksanakan mengikut kerangka perlembagaan. Jawatankuasa Pilihan Khas DUN tidak menggantikan proses itu, tetapi membantu memperkukuhkan persediaan Negeri Sabah dengan data, analisis dan pendirian yang lebih tersusun sebelum memasuki rundingan rasmi.

Dengan kata lain, jawatankuasa ini berfungsi untuk memperkasa pelaksanaan keputusan mahkamah — bukan menghalangnya.

Tambahan pula, Jawatankuasa Pilihan Khas yang bersifat dwipartisan, melibatkan wakil kerajaan dan pembangkang, akan meningkatkan keyakinan rakyat bahawa isu 40% ini ditangani secara matang, profesional dan merentas politik kepartian.

Sabah memerlukan pendekatan yang berstruktur dan berinstitusi. Isu sebesar hak 40% tidak boleh dibiarkan bergerak secara ad hoc atau bergantung sepenuhnya kepada rundingan tertutup. DUN sebagai badan perundangan tertinggi Negeri mesti memainkan peranan aktif.

Sebagai anak Sabah dan Naib Ketua Bahagian WARISAN Sepanggar, saya percaya bahawa penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas DUN Sabah mengenai hak 40% adalah satu langkah strategik dan bertanggungjawab demi memastikan kepentingan Sabah dipertahankan secara berprinsip, telus dan berlandaskan Perlembagaan.

Ini bukan soal politik sempit — ini soal hak negeri dan masa depan semua generasi Sabah, "samada anda di pihak kerajaan atau anda di pihak pembangkang kita perlu memainkan fungsi dan peranan sebaiknya kerana akhirnya kita semua adalah orang Sabah yang patut memperjuangkan hak kita bersama, "Kita-kita juga bah ini".

Oleh: Norazmi Hj. Alimat
Naib Ketua Bahagian WARISAN Sepanggar.

Jumpa kesilapan (terjemahan, makna atau ejaan)? Bantu kami dengan melaporkan.

Admin
Penulis

Admin

Admin Warisan Portal bertanggungjawab mengurus dan menerbitkan kenyataan media, artikel serta maklumat rasmi Parti Warisan kepada orang awam.

Artikel Berkaitan

Komen (0)

Jadilah yang pertama memberikan komen!

Sila log masuk untuk meninggalkan komen.

Log Masuk