KOTA KINABALU: ADUN Sri Tanjong, Justin Wong hari ini mengeluarkan kenyataan tegas menggesa Kerajaan Persekutuan menghentikan penggunaan alasan teknikal seperti “memuktamadkan formula” dan “pengesahan data” untuk terus melengah-lengahkan tanggungjawab perlembagaan membayar hak 40 peratus hasil cukai bersih Sabah seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Beliau berkata, alasan yang sering diberikan kerajaan selama ini sudah tidak lagi meyakinkan dan jelas dilihat sebagai usaha untuk mencairkan serta mengelakkan tanggungjawab perlembagaan tersebut.
“Hak 40 peratus hasil cukai Sabah adalah hak yang sudah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Ia tidak boleh dirunding dan tidak datang dengan sebarang syarat tambahan. Kita tidak seharusnya dikelirukan dengan istilah teknikal yang rumit. Isunya bukan sama ada formula sudah siap atau belum, tetapi sama ada Putrajaya bersedia berdepan dengan data sebenar,” katanya.
Menurut beliau, keengganan Kerajaan Persekutuan untuk mendedahkan sepenuhnya angka berkaitan adalah kerana data sebenar akan menunjukkan jumlah wang yang didakwa tidak dibayar sepenuhnya kepada Sabah selama bertahun-tahun.
Mengulas kebuntuan semasa, Justin Wong turut membangkitkan tiga persoalan utama kepada Kerajaan Persekutuan berhubung definisi sebenar “hasil bersih yang diperoleh dari Sabah”.
“Antara persoalan yang timbul ialah sama ada hasil minyak dan gas telah dikecualikan daripada pengiraan. Selain itu, apakah jenis perbelanjaan yang telah ditolak oleh Kerajaan Persekutuan sebelum menentukan bahagian 40 peratus Sabah. Akhir sekali, bagaimana angka pembayaran akhir itu dikira?” katanya.
Beliau mengkritik bahawa tanpa pendedahan penuh data kepada umum, sebarang jumlah yang diumumkan Kerajaan Persekutuan hanyalah “angka politik” bertujuan meredakan ketidakpuasan rakyat dan bukannya pembayaran tunggakan yang sah mengikut perlembagaan.
Justin Wong turut mengingatkan rakyat Sabah agar tidak terpengaruh dengan “bayaran interim” atau peruntukan tambahan yang ditawarkan Kerajaan Persekutuan kerana menurutnya langkah sedemikian hanya menjadi tirai asap untuk menutup tindakan yang bercanggah dengan perlembagaan.
“Ini dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan. Ia bukan ihsan khas atau derma daripada mana-mana pihak,” tegasnya.
Beliau turut menggesa Kerajaan Persekutuan menunjukkan keikhlasan sebenar dengan segera mendedahkan formula pengiraan secara penuh, menghentikan amalan tidak telus dan memastikan ketelusan sepanjang keseluruhan proses.
“Kerajaan juga mesti menerbitkan pecahan terperinci yang menyenaraikan semua cukai yang dikutip daripada Sabah. Pada masa sama, pembayaran perlu dibuat segera mengikut tanggungjawab perlembagaan tanpa sebarang kelewatan pentadbiran lagi,” katanya.
Tambah beliau, rakyat Sabah sedang memantau rapat perkembangan isu tersebut dan sebarang kelewatan berterusan hanya akan mengukuhkan persepsi umum bahawa Kerajaan Persekutuan tidak mempunyai niat sebenar untuk menyelesaikan perkara itu.
“Ini bukan isu teknikal, tetapi soal integriti politik. Berhenti memberi alasan dan pulangkan hak Sabah kepada Sabah,” katanya.