PENAMPANG: Parti Warisan Bahagian Penampang hari
ini meminta penjelasan dari Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sabah
samada sekatan di Sungai Petagas, yang terletak di belakang Gereja
Holy Nativity, Terawi merupakan punca mengapa banjir semakin kerap
berlaku di kampung-kampung sepanjang Sungai Moyog seperti Kg. Dabak,
Kg. Tanaki, Kg. Nambazan, Kg. Ramayah–Tadau dan Kg. Sugud.
Perkara
ini dibangkitkan oleh Ketua Penerangan Wanita bahagian tersebut, Puan
Agnes Kinsil ketika mengadakan tinjauan sekatan tersebut bersama
pemimpin Parti Warisan, aktivis masyarakat serta penduduk kampung di
kawasan terlibat.
Menurut
Agnes, pihaknya dimaklumkan bahawa sekatan itu, yang dibuat melalui
penimbusan tanah, bertujuan untuk mengalihkannya aliran air Sungai
Moyog ke Sungai Putatan.
“Namun
begitu, penimbusan ini dipercayai menjadi antara punca mengapa
petempatan sepanjang Jalan Penampang–Papar Lama sering mengalami
banjir besar. Ini adalah kerana aliran air Sungai Moyog, khususnya di
sepanjang Jalan Putatan–Ramayah, dikatakan menjadi kurang cekap
lalu menyebabkan limpahan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah
beliau, secara logiknya, aliran air ke laut yang tidak lancar —
ditambah pula dengan limpahan air dari Empangan Babagon ketika hujan
lebat yang berterusan serta fenomena air laut pasang — sememangnya
berpotensi menyebabkan kawasan petempatan yang dinyatakan diatas
mengalami banjir.
"Kami
juga difahamkan bahawa reka bentuk saluran kawalan konkrit yang
membolehkan 10% aliran sungai mengalir ke Sungai Petagas seringkali
tersumbat dengan batang kayu atau sampah dan ini juga menyumbang
kepada ketidakcekapan aliran air disini," katanya lagi.
Agnes
menegaskan bahawa Warisan Bahagian Penampang menyokong sepenuhnya
pelaksanaan projek tebatan banjir di daerah itu, namun ianya perlu
dilaksanakan secara berhemah, berasaskan kajian teknikal yang
menyeluruh dan bukan semata-mata untuk mengejar peratusan siap
projek.
“Kami
tidak pasti mengapa JPS Sabah membuat sekatan ini sedangkan adalah
tidak mudah untuk mengalihkan aliran air ke Sungai Putatan melainkan
ianya didalamkan terlebih dahulu.
“Oleh
itu, kami berharap agar JPS Sabah mempertimbangkan saranan pembukaan
sekatan ini bagi mengurangkan impak banjir di kawasan Lower Moyog,
lebih-lebih lagi apabila kita telahpun menerima ‘amaran’ melalui
kejadian banjir besar pada Jun 2024 yang telah menenggelamkan
beberapa kawasan di Penampang yang sebelum ini tidak pernah mengalami
banjir,” katanya.
Beliau
turut menggesa agar satu kajian terperinci dijalankan oleh JPS Sabah
bagi menentukan sama ada sekatan tersebut merupakan punca utama
peningkatan risiko banjir di kawasan Moyog kebelakangan ini, serta
mengharapkan satu penjelasan rasmi diberikan kepada masyarakat
setempat.
Dalam
tinjauan tersebut, Agnes diiringi oleh Pengarah Komunikasi Strategik
Warisan Pusat, Christopher Masudal, Ketua Bahagian Warisan Penampang,
Jeffrey Leiking, serta aktivis masyarakat Oswald Supi dan Timothy
Jominol.
–
Tamat –