TERKINI
Ketidakpastian Sempadan: Pulau Sebatik dan Kedaulatan Malaysia-Indonesia
Semasa 2 min baca 226 tontonan

Ketidakpastian Sempadan: Pulau Sebatik dan Kedaulatan Malaysia-Indonesia

Ringkasan

Isu sempadan Pulau Sebatik antara Malaysia dan Indonesia mencetuskan kekeliruan selepas kenyataan Ketua Pejabat Staf Presiden Indonesia.

Baca dalam:
Admin
Admin
Salin URL mengikut bahasa

KENYATAAN MEDIA

Saya memandang serius laporan yang memetik kenyataan dari Ketua Pejabat Staf Presiden Indonesia , Muhammad Quadari berhubung kononnya kawasan seluas 127.3 hektar di Pulau Sebatik yang sebelum ini berada dalam wilayah Malaysia kini disahkan sebagai milik Indonesia.

Kenyataan sedemikian agak mengelirukan persepsi awam tanpa pengesahan rasmi daripada kerajaan Malaysia. Isu penetapan sempadan antarabangsa bukan perkara kecil dan tidak boleh diumumkan secara sebelah pihak. Ia mesti melalui persetujuan dua hala serta disahkan secara rasmi oleh kedua-dua negara.

Kedudukan Pulau Sebatik sememangnya unik dimana dibahagikan antara Malaysia dan Indonesia sejak dahulu. Namun, Sebarang “perubahan” biasanya hanyalah pelarasan teknikal (demarcation), bukan penyerahan besar wilayah seperti yang digambarkan. 127.3 hektar mungkin kedengaran kecil, tetapi sebenarnya ia bersamaan kira-kira 180 padang bola sepak, malah lebih besar daripada kawasan seperti KLCC Park. Ia tetap melibatkan kawasan yang signifikan, apatah lagi bila berkaitan dengan sempadan dan kedaulatan negara.

Sehubungan itu, saya mendesak agar Kementerian Luar Negeri Malaysia segera memberikan penjelasan yang jelas dan terperinci kepada rakyat, khususnya rakyat Sabah, berhubung status sebenar perkara ini. Rakyat berhak mengetahui sama ada ini merupakan pelarasan teknikal sempadan atau benar-benar melibatkan perubahan kedaulatan wilayah.

Lebih penting, persoalan besar timbul mengapa perkara yang melibatkan kepentingan dan sempadan negeri Sabah ini tidak dibentangkan atau dimaklumkan di Dewan Undangan Negeri Sabah. Sabah tidak seharusnya diketepikan dalam sebarang keputusan yang melibatkan tanah dan kedaulatannya sendiri.

Saya berpendirian bahawa kerajaan negeri Sabah wajib tampil memberi penjelasan terbuka serta memastikan bahawa sebarang rundingan atau persetujuan yang dibuat tidak menjejaskan kepentingan negeri dan rakyat tempatan. Jika benar terdapat sebarang perubahan, maka perkara ini wajar dibahaskan secara telus di DUN Sabah, sama ada melalui usul khas atau perbahasan terbuka.

Sebarang pelarasan sempadan juga berpotensi memberi kesan langsung kepada penduduk setempat dari segi pemilikan tanah, keselamatan, dan aktiviti ekonomi rentas sempadan termasuk pemilikan bahan galian dan hasil laut. Oleh itu, ketelusan dan akauntabiliti adalah amat penting dalam isu ini.

Saya menegaskan bahawa kedaulatan wilayah bukan perkara yang boleh dipandang ringan. Rakyat Sabah berhak mendapat penjelasan yang sebenar, bukan sekadar bergantung kepada laporan atau kenyataan daripada pihak luar.

THAM YUN FOOK

ADUN N19 LIKAS

16 April 2026

Jumpa kesilapan (terjemahan, makna atau ejaan)? Bantu kami dengan melaporkan.

Admin
Penulis

Admin

Admin Warisan Portal bertanggungjawab mengurus dan menerbitkan kenyataan media, artikel serta maklumat rasmi Parti Warisan kepada orang awam.

Artikel Berkaitan

Komen (0)

Jadilah yang pertama memberikan komen!

Sila log masuk untuk meninggalkan komen.

Log Masuk