Sandakan: Krisis gangguan bekalan air di Karamunting terus mencetuskan kebimbangan apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.54 Karamunting, YB Wong Tshun Khee @ Alex TK Wong, secara terbuka mempersoalkan kegagalan Kerajaan Negeri Sabah menangani isu berlarutan itu.
Bermula 7 Februari 2026, beliau memuat naik hantaran di Facebook dengan soalan tegas, “Sampai bila masalah bekalan air akan terus terputus?” sambil melampirkan gambar lori tangki air yang digunakan dalam misi bantuan kecemasan di kawasannya. Hantaran tersebut mencerminkan tekanan yang dihadapi penduduk akibat gangguan bekalan air yang berulang.
Keadaan bertambah membimbangkan apabila seorang pengguna Facebook, Alfred Chong, memuat naik komen bergambar air kotor sambil menyatakan, “Not only is there no water, but also mud water! Yoo!” menandakan isu bukan sekadar ketiadaan air, malah kualiti bekalan yang tercemar.
Pada 8 Februari 2026, Alex TK Wong turun sendiri ke Bandar Tanah Merah dan dilaporkan menunggu ketibaan lori tangki air yang masih belum tiba ketika itu. Beliau menegaskan tidak akan berganjak dari lokasi berkenaan sehingga bantuan air sampai kepada penduduk, sebagai tanda komitmen memastikan keperluan asas rakyat dipenuhi.
Pada hari yang sama, beliau mengeluarkan satu kenyataan awam mengecam Kerajaan Negeri Sabah atas kegagalan berterusan menangani masalah bekalan air di Sandakan, khususnya di Karamunting. Menurut beliau, walaupun pengagihan air kecemasan menggunakan lori tangki telah dilakukan selama beberapa hari berturut-turut, gangguan bekalan air masih berulang, menyebabkan penduduk terus hidup dalam keadaan tidak menentu.
Alex TK Wong menegaskan bahawa isu ini bukan lagi masalah teknikal sementara, sebaliknya mencerminkan kegagalan pentadbiran yang berpanjangan. Beliau mendedahkan bahawa pada malam sebelumnya, beliau sendiri menyelaras bantuan kecemasan dengan Jabatan Air yang menambah sebuah lori tangki, manakala empat lori tangki lain turut digerakkan dari kawasan lain. Namun, usaha itu hanya mampu meredakan keadaan sementara dan tidak menyelesaikan punca sebenar masalah.
Beliau turut mengkritik Jabatan Air kerana gagal memberikan penjelasan jelas mengenai punca gangguan, dengan alasan bahawa tiada penutupan air dilakukan dan siasatan masih berjalan. Menurutnya, jawapan sedemikian tidak profesional dan tidak bertanggungjawab terhadap penderitaan penduduk.
Dalam kenyataan sama, Alex TK Wong secara terbuka menamakan Timbalan Ketua Menteri I Sabah merangkap Menteri Kerja Raya dan Kemudahan Awam Negeri, Datuk Seri Panglima Dr. Joachim Gunsalam, sebagai pihak yang wajar memikul tanggungjawab. Beliau menegaskan bahawa kegagalan menjamin bekalan air asas dan mengenal pasti punca gangguan di Sandakan menimbulkan persoalan besar terhadap keupayaan kepimpinan portfolio berkenaan, malah menyatakan menteri terbabit wajar mempertimbangkan tanggungjawab politik termasuk meletakkan jawatan sekiranya masalah terus gagal diselesaikan.
Menurut beliau lagi, bekalan air adalah perkhidmatan awam paling asas dan tidak boleh terus ditangani secara ad hoc melalui lori tangki semata-mata. Kerajaan, katanya, wajib tampil dengan penjelasan menyeluruh termasuk keadaan sebenar sistem bekalan air, kelemahan struktur, kawasan terjejas dan tempoh pemulihan, bukannya berlindung di sebalik alasan “masih dalam siasatan”.
Alex TK Wong menegaskan beliau akan terus memantau, mendedahkan isu ini secara terbuka dan membawa perkara berkenaan ke peringkat Kerajaan Negeri sehingga satu pelan penyelesaian yang jelas dan bertanggungjawab dikemukakan kepada rakyat.