KOTA KINABALU – ADUN N.25 Kapayan, YB Chin Tek Ming berkata kesesakan teruk sehingga membentuk barisan lori sepanjang empat kilometer di Pelabuhan Sepanggar kini bukan lagi boleh dianggap sebagai gangguan operasi sementara atau isu teknikal biasa. Sebaliknya, ia merupakan petunjuk jelas kepada kegagalan sistemik dalam pengurusan pelabuhan dan tadbir urus infrastruktur ekonomi Sabah.
Menurut beliau, krisis tersebut melibatkan kelemahan dalam aspek perancangan infrastruktur, pengurusan operasi, penyelarasan institusi serta pelaksanaan dasar yang akhirnya memberi kesan langsung kepada ekonomi Sabah, keyakinan pelabur, kelangsungan perniagaan dan kehidupan harian rakyat.
Beliau berkata hasil lawatan tapak yang dilakukan pada 11 Mei 2026 bersama Datuk Azis Jamman, YB Tham Yun Fook, KC Chen dan beberapa pimpinan Warisan mendapati keadaan kesesakan di pelabuhan telah berada pada tahap membimbangkan.
Menurut beliau, pemain industri, pengusaha pengangkutan, syarikat logistik dan komuniti perniagaan telah lama menyuarakan kebimbangan berkaitan kelewatan serius, kerugian operasi, caj kesesakan serta kegagalan menyediakan langkah mitigasi segera.
Namun begitu, beliau menegaskan sehingga kini masih tiada pelan tindakan konkrit, terukur dan telus diumumkan kepada rakyat walaupun beberapa mesyuarat dan kenyataan media telah dikeluarkan oleh pihak kementerian berkaitan.
Chin Tek Ming berkata rakyat Sabah masih belum diberikan jawapan jelas mengenai punca sebenar kesesakan, tahap kegagalan operasi yang berlaku, tempoh pemulihan, pihak yang bertanggungjawab serta langkah jangka pendek dan panjang untuk mengelakkan masalah sama berulang.
Beliau turut menegaskan bahawa krisis tersebut bukan berlaku secara tiba-tiba, sebaliknya berpunca daripada kelemahan perancangan jangka panjang, kelewatan pengembangan kapasiti infrastruktur, penyelarasan agensi yang lemah dan budaya pengurusan reaktif yang telah berlarutan sejak sekian lama.
Menurutnya, ekosistem logistik Sabah gagal berkembang seiring peningkatan permintaan ekonomi dan perdagangan walaupun pelbagai amaran telah dibangkitkan oleh pemain industri sejak beberapa tahun lalu.
Beliau berkata kesan daripada kegagalan tersebut kini mula dirasai secara langsung oleh rakyat apabila syarikat terpaksa menanggung caj kesesakan tambahan, kos pengangkutan lebih tinggi, kelewatan penghantaran serta gangguan rantaian bekalan yang akhirnya dipindahkan kepada pengguna melalui kenaikan harga barang.
“Ini bukan lagi sekadar isu pelabuhan. Ini adalah krisis tadbir urus ekonomi,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa pihak Sabah Port Authority, Suria Capital Holdings Berhad, Sabah Ports Sdn Bhd serta DP World Sabah tampil memberikan penjelasan terbuka berkaitan punca sebenar krisis, kelemahan operasi, usaha mitigasi dan perancangan masa depan.
Beliau turut mempersoalkan beberapa perkara penting termasuk terma utama kerjasama usaha sama melibatkan DP World, tahap pematuhan prestasi operasi, komitmen infrastruktur serta sama ada berlaku sebarang kegagalan atau pelanggaran tanggungjawab dalam pengurusan pelabuhan.
Dalam masa sama, beliau turut menggesa satu sesi taklimat awam bersama semua pihak berkepentingan termasuk pengendali pelabuhan, syarikat logistik, pengusaha haulage, dewan perniagaan dan kementerian berkaitan diadakan segera demi memastikan ketelusan kepada rakyat dan komuniti industri.
Beliau menegaskan bahawa kepimpinan sebenar tidak diukur melalui slogan, majlis atau sidang media semata-mata, tetapi melalui kecekapan, akauntabiliti dan keupayaan mencegah krisis yang boleh menjejaskan rakyat.
“Sabah berhak mendapat tadbir urus yang lebih baik, ketelusan yang sebenar dan tindakan segera,” katanya.