KOTA KINABALU: ADUN N19 Likas, Tham Yun Fook mempersoalkan cadangan Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam untuk meminjam dana daripada Kerajaan Persekutuan bagi memperbaiki sistem saluran paip air dan pembentungan Sabah ketika lawatan di Banggi, Kudat baru-baru ini.
Menurut beliau, cadangan tersebut menimbulkan persoalan besar mengenai keperluan Sabah untuk terus meminjam sedangkan hak negeri sendiri termasuk tuntutan 40% hasil bersih Sabah masih belum dibayar sepenuhnya oleh Kerajaan Persekutuan.
Katanya, beliau hairan mengapa kerajaan negeri begitu mudah bercakap mengenai pinjaman daripada Persekutuan tetapi pada masa sama gagal menuntut hak Sabah secara tegas.
Tham berkata seperti yang dibangkitkannya dalam Persidangan DUN Sabah baru-baru ini, sistem paip air dan pembentungan di Sabah kini berada pada tahap membimbangkan akibat kegagalan perancangan dan penyelenggaraan selama bertahun-tahun.
Menurut beliau, rakyat setiap hari menjadi mangsa gangguan bekalan air, tekanan air rendah, paip pecah serta sistem pembentungan yang daif.
Tambahnya, Sabah juga masih berdepan masalah sekolah daif yang kekurangan kemudahan asas selain isu banjir kilat yang semakin kerap berlaku akibat sistem perparitan yang gagal diselenggara dengan baik.
Katanya, semua masalah tersebut memerlukan dana yang sangat besar untuk diselesaikan secara menyeluruh.
Namun beliau mempersoalkan mengapa Sabah perlu meminjam daripada Kerajaan Persekutuan sedangkan kerajaan pusat sendiri masih belum melunaskan hak Sabah termasuk tuntutan 40% hasil bersih seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Sehubungan itu, beliau merujuk kepada usul yang dibawa oleh Parti Warisan melalui ADUN Kapayan supaya Kerajaan Persekutuan segera membayar tuntutan 40% hasil Sabah bagi tempoh 2022 hingga 2025 dalam tempoh 60 hari kerana jumlah tersebut boleh dikira secara jelas dan telus.
Menurutnya, amat mendukacitakan apabila usul tersebut langsung tidak dibahaskan di Dewan Undangan Negeri Sabah.
Tham berkata sekiranya Datuk Seri Dr Joachim yang mewakili kerajaan negeri benar-benar serius mempertahankan kepentingan Sabah, beliau sepatutnya mendesak Perdana Menteri supaya menyelesaikan tunggakan hak Sabah terlebih dahulu dan bukannya mencadangkan pinjaman yang akhirnya akan ditanggung oleh rakyat Sabah sendiri.
Beliau menegaskan bahawa Sabah tidak sepatutnya terus menjadi negeri yang hanya tahu meminjam tetapi tidak berani menuntut hak sendiri secara tegas.
Tegas beliau, kerajaan negeri perlu berhenti bersikap terlalu tunduk kepada Kerajaan Persekutuan kerana Sabah mempunyai maruah, hak dan kedudukan yang wajib dihormati.
Mengapa Sabah Perlu Meminjam Sedangkan Hak 40% Masih Belum Dibayar — Tham Yun Fook
Ringkasan
ADUN N19 Likas, Tham Yun Fook mempersoalkan cadangan kerajaan negeri untuk meminjam dana daripada Kerajaan Persekutuan bagi membaik pulih sistem paip air dan pembentungan Sabah sedangkan hak 40% hasil bersih Sabah masih belum dibayar sepenuhnya.
Beliau berkata Sabah tidak sepatutnya terus dibebankan dengan pinjaman baharu sedangkan Kerajaan Persekutuan masih mempunyai tunggakan hak negeri yang boleh digunakan untuk menyelesaikan pelbagai masalah infrastruktur asas di Sabah.
Jumpa kesilapan (terjemahan, makna atau ejaan)? Bantu kami dengan melaporkan.
Admin
Admin Warisan Portal bertanggungjawab mengurus dan menerbitkan kenyataan media, artikel serta maklumat rasmi Parti Warisan kepada orang awam.
Artikel Berkaitan
Komen (0)
Jadilah yang pertama memberikan komen!