TERKINI
Mesyuarat ADUN Warisan Sandakan Bersama Jurutera Daerah Jabatan Air: Penyelesaian Bekalan Air Sandakan Diperlukan Segera.
Infrastruktur & Utiliti Awam 3 min baca 245 tontonan

Mesyuarat ADUN Warisan Sandakan Bersama Jurutera Daerah Jabatan Air: Penyelesaian Bekalan Air Sandakan Diperlukan Segera.

Ringkasan

Mesyuarat antara Jurutera Daerah dan enam ADUN Parti Warisan di Sandakan membincangkan isu bekalan air kritikal yang berlarutan, menuntut penyelesaian.

Baca dalam:
Admin
Admin
Salin URL mengikut bahasa

KENYATAAN AKHBAR: SANDAKAN - Satu mesyuarat bersama Jurutera Daerah (DE) baharu Jabatan Air, Puan Neyli telah diadakan baru-baru ini dengan penglibatan enam Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parti Warisan dari Sandakan bagi membincangkan isu bekalan air yang semakin meruncing di kawasan masing-masing.

Mesyuarat tersebut dihadiri oleh wakil YB Calvin Chong (N55 Elopura), YB Lisa Alban (N52 Sungai Sibuga), wakil YB Alias Hj. Sani (N53 Sekong), YB Arunanarsin Taib (N50 Gum-Gum), YB Alex Wong (N54 Karamunting) serta YB Alex Thien (N56 Tanjong Papat). Perbincangan tertumpu kepada pelbagai isu kritikal yang memberi kesan langsung kepada kesejahteraan rakyat, khususnya berkaitan gangguan bekalan air yang berpanjangan.

Masalah bekalan air di Sandakan bukanlah isu baharu, malah telah berlarutan selama bertahun-tahun tanpa penyelesaian tuntas. Keadaan ini terus membebankan kehidupan harian rakyat yang terpaksa berdepan gangguan berulang kali. Persoalannya, sampai bila rakyat Sandakan harus terus bersabar dan menanggung kesulitan ini tanpa tindakan penyelesaian yang benar-benar berkesan?

Walaupun saban tahun pelbagai peruntukan bernilai berbilion ringgit diumumkan bagi menangani isu bekalan air, namun sehingga hari ini masalah yang dihadapi rakyat masih belum diselesaikan secara menyeluruh. Perkara ini menimbulkan persoalan terhadap keberkesanan pelaksanaan projek serta ke mana hala tuju sebenar peruntukan tersebut disalurkan. Rakyat bukan sahaja mahukan janji dan pengumuman, tetapi penyelesaian yang nyata dan berkesan.

Antara perkara utama yang dibangkitkan ialah masalah di kawasan Bandar Prima, di mana kerja-kerja pembaikan melibatkan tiga kebocoran utama akan dilaksanakan bermula 13 April bersempena penutupan Loji Segaliud. Kerja-kerja awal penggalian dijangka dimulakan lebih awal bagi memastikan proses pembaikan berjalan lancar.

Berhubung penutupan bekalan air tersebut, pihak Jabatan Air memaklumkan bahawa semua tangki simpanan akan dipastikan berada pada tahap maksimum pada 12 April sebagai langkah persediaan awal.

Sekiranya berlaku kekurangan bekalan, agihan air melalui lori tangki akan dilaksanakan dengan memberi keutamaan kepada kawasan kritikal seperti hospital serta permintaan daripada pengguna melalui saluran rasmi Jabatan Air.

Mesyuarat turut membincangkan isu paip uzur di Taman Nasalim yang kini dalam proses penukaran, termasuk usaha mengenal pasti lokasi sesuai untuk penyimpanan paip.

Selain itu, gangguan bekalan air berpanjangan di beberapa kawasan di Elopura seperti Taman Sentosa, Sri Taman, Taman Mesra, Taman Hing Lee, kawasan Sedco dan Kam Jai Yen dikenal pasti berpunca daripada kecurian air yang serius serta lebih daripada 100 kes kebocoran paip yang masih belum diselesaikan.

Dalam menangani isu setinggan, pihak Jabatan Air memaklumkan bahawa pemasangan meter air akan diberikan kepada penduduk yang berdaftar, dan sebarang permohonan sambungan perlu dibuat melalui pemilik meter dengan bayaran caj yang ditetapkan oleh pemilik meter.

Pihak Jabatan Air juga memaklumkan bahawa amaran akan dikeluarkan kepada kontraktor agar menyelesaikan kerja-kerja pembaikan dalam tempoh dua bulan, di samping mempertingkatkan pemantauan bagi memastikan pelaksanaan kerja lebih efisien. Antara cabaran utama yang dikenal pasti ialah keadaan paip yang terlalu uzur sehingga menyebabkan beberapa kebocoran boleh berlaku di satu lokasi yang sama.

Sehubungan itu, satu permohonan telah dikemukakan agar audit terhadap peralatan (equipment audit) dilaksanakan bagi memastikan semua kerja yang dijalankan mencapai standard yang ditetapkan serta memenuhi jangkaan rakyat.

Kesemua ADUN yang terlibat mengambil maklum terhadap isu-isu yang dibangkitkan dan menyatakan komitmen untuk membawa perkara ini ke peringkat Dewan Undangan Negeri agar tindakan yang lebih menyeluruh dan berkesan dapat dilaksanakan.

Kerjasama erat antara wakil rakyat dan Jabatan Air diharap dapat memberikan impak positif dalam usaha menyelesaikan masalah bekalan air di Sandakan secara mampan dan berterusan. Penghargaan turut diberikan kepada Puan Neyli atas kesediaan beliau untuk bekerjasama serta mengambil pendekatan proaktif dalam menangani isu-isu berkaitan demi kepentingan rakyat.

TAMAT

Jumpa kesilapan (terjemahan, makna atau ejaan)? Bantu kami dengan melaporkan.

Admin
Penulis

Admin

Admin Warisan Portal bertanggungjawab mengurus dan menerbitkan kenyataan media, artikel serta maklumat rasmi Parti Warisan kepada orang awam.

Artikel Berkaitan

Komen (0)

Jadilah yang pertama memberikan komen!

Sila log masuk untuk meninggalkan komen.

Log Masuk