SANDAKAN - Satu sesi perbincangan telah diadakan bersama para penjaja Pasar Dinihari Bandar Sandakan, yang turut disertai oleh Persatuan Penjaja. Pertemuan ini dihadiri oleh beberapa wakil rakyat termasuk YB Alex Wong, YB Alex Thien, YB Alias Hj Sani, YB Lisa Alban, dan YB Arunarsin Taib, serta para peniaga pasar malam tersebut.
Menurut pihak Persatuan Penjaja, terdapat syarikat pengendali yang mengatur para peniaga. Justeru, mereka akan mengambil data lengkap semua peniaga bagi mengelakkan salah faham masyarakat, khususnya dakwaan bahawa mereka mempertahankan pihak yang bukan warga tempatan.
Para peniaga juga menyatakan bahawa mereka telah berniaga di kawasan ini selama lebih 22 tahun dan isu kebersihan sepatutnya boleh diuruskan melalui kadar sewa lot. Isu ini baru kini timbul dan telah menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan peniaga.
Dalam mesyuarat tersebut, peniaga juga memaklumkan bahawa mereka mempunyai Persatuan Pemborong Sayur dan Buah Sabah yang dianggotai lebih 100 peniaga melalui jawatankuasa tersendiri. Mereka berpendapat bahawa keadaan pasar pada masa ini masih boleh diterima dan aliran trafik tidak terlalu sesak.
Pihak Persatuan Penjaja menegaskan bahawa dakwaan kononnya mereka bersetuju dengan penutupan pasar dinihari adalah tidak benar. "Sebagai ADUN Pembangkang, kami tidak pernah terlibat dalam sebarang mesyuarat MPS berkaitan perkara ini," kata mereka.
Sebagai tanda keprihatinan, mereka sebulat suara akan turun ke lapangan pada 03 Februari 2026 jam 1.00 pagi bagi meninjau keadaan sebenar di Pasar Dinihari Bandar Sandakan. Mereka bimbang sebarang tindakan tergesa-gesa akan menjejaskan sumber rezeki para peniaga dan menegaskan perlunya penyelesaian yang lebih adil, termasuk penyediaan lot tetap kepada peniaga tanpa sebarang tindakan pengusiran secara mengejut.