TERKINI
Sabah Perlu Tegas Dalam Tuntutan Hak 40% Hasil: Masa Untuk Tindakan! - Mudi Dubing
MA63 2 min baca 270 tontonan

Sabah Perlu Tegas Dalam Tuntutan Hak 40% Hasil: Masa Untuk Tindakan! - Mudi Dubing

Ringkasan

Mahkamah membenarkan penangguhan pelaksanaan hak 40% hasil Sabah, menekankan perlunya tindakan tegas oleh Kerajaan Negeri untuk menuntut hak tersebut.

Baca dalam:
Admin
Admin
Salin URL mengikut bahasa

KENYATAAN MEDIA: KEPUTUSAN MAHKAMAH BERHUBUNG PENANGGUHAN PELAKSANAAN (STAY OF EXECUTION) HAK 40% SABAH

Saya mengambil maklum keputusan mahkamah yang membenarkan permohonan Kerajaan Persekutuan untuk penangguhan pelaksanaan (stay of execution) berhubung tuntutan 40% hasil Sabah. Walaupun keputusan ini adalah sebahagian daripada proses perundangan, ia tidak harus dijadikan alasan untuk terus melengah-lengahkan pelaksanaan hak Sabah yang telah lama termaktub dalam Perlembagaan.

Hak Sabah terhadap 40% hasil bukanlah satu tuntutan baharu, tetapi hak yang telah diperakui. Perdana Menteri sendiri telah mengesahkan kewujudan hak tersebut, dan Kerajaan Persekutuan juga mengiktiraf perkara ini sebagaimana yang diperuntukkan dalam Perlembagaan. Oleh itu, tiada sebarang justifikasi untuk kelewatan berterusan dalam melaksanakan tanggungjawab ini.

Rakyat Sabah telah memberikan mandat dan kuasa kepada Kerajaan Negeri di bawah GRS untuk mentadbir negeri ini serta mempertahankan hak dan kepentingan rakyat. Sehubungan itu, rakyat berhak mendesak Kerajaan Negeri agar mengambil pendirian yang lebih tegas dan berani dalam memastikan tuntutan ini ditunaikan sepenuhnya.

Kerajaan Negeri tidak boleh terus berlindung di sebalik alasan “akan berunding” atau “sedang berunding” yang telah berulang kali kita dengar sejak tahun 1970-an. Sudah tiba masanya pendekatan lebih tegas diambil.

Berhubung cadangan agar Warisan menarik sokongan, realitinya Warisan ketika ini hanya memegang 3 daripada 25 kerusi Parlimen di Sabah. Jumlah ini, secara praktikal, tidak signifikan untuk memberikan tekanan yang mencukupi kepada Kerajaan Persekutuan.

Namun, jika 22 Ahli Parlimen daripada GRS serta wakil-wakil Sabah daripada PH dan UMNO mengambil pendirian tegas dalam isu ini, barulah wujud kekuatan yang signifikan untuk memberikan tekanan sebenar kepada Kerajaan Persekutuan.

Tuntutan 40% ini adalah tanggungjawab utama Kerajaan Negeri Sabah. Justeru, Kerajaan Negeri perlu memimpin usaha ini dengan jelas dan berani dalam mendesak pelaksanaan hak tersebut. Dalam hal ini, Warisan akan memberikan sokongan penuh terhadap sebarang langkah tegas yang diambil demi kepentingan Sabah.

Persoalannya kini, adakah GRS berani untuk mengambil pendirian sedemikian?

Memandangkan mandat telah diberikan oleh rakyat kepada GRS untuk memimpin Sabah, adalah wajar rakyat Sabah sendiri memainkan peranan dengan mendesak Kerajaan Negeri agar lebih tegas dan serius dalam memastikan tuntutan ini tidak terus dilengah-lengahkan oleh Kerajaan Persekutuan.

Saya menggesa agar Kerajaan Negeri Sabah menetapkan pendirian yang jelas dan memberikan ultimatum kepada Kerajaan Persekutuan dengan garis masa yang konkrit bagi pelaksanaan hak 40% ini. Ketegasan ini penting bukan sahaja untuk memastikan keadilan kepada Sabah, tetapi juga untuk memelihara kepercayaan rakyat terhadap institusi kerajaan.

Isu ini bukan sekadar soal angka atau hasil, tetapi soal maruah, hak, dan masa depan Sabah.

Sekian.

Mudi Dubing
Ahli Majlis Tertinggi Parti Warisan
Ketua Bahagian Parti Warisan, P182 Pensiangan

Jumpa kesilapan (terjemahan, makna atau ejaan)? Bantu kami dengan melaporkan.

Admin
Penulis

Admin

Admin Warisan Portal bertanggungjawab mengurus dan menerbitkan kenyataan media, artikel serta maklumat rasmi Parti Warisan kepada orang awam.

Artikel Berkaitan

Komen (0)

Jadilah yang pertama memberikan komen!

Sila log masuk untuk meninggalkan komen.

Log Masuk