KOTA KINABALU: Ahli Majlis Tertinggi Parti Warisan merangkap ADUN N.60 Tungku, YB Assaffal P. Alian menghargai maklum balas pantas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Noor yang mengumumkan penangguhan pelaksanaan Akta Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia 2024 (Akta 860) di Sabah susulan kebimbangan terhadap elemen penghakisan kuasa negeri.
Menurut beliau, keputusan tersebut merupakan langkah yang tepat namun Sabah tidak boleh sekadar berhenti pada tahap penangguhan semata-mata tanpa membawa penyelesaian lebih menyeluruh bagi memulihkan hak eksekutif negeri.
Katanya, Sabah tidak menolak kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan tetapi menolak sebarang bentuk pemusatan kuasa yang menghakis semangat asal Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Beliau berkata model yang perlu dipertahankan ialah konsep “perkongsian kuasa” berasaskan prinsip wilayah berdaulat dan bukannya pemusatan kuasa melalui agensi Persekutuan baharu.
Dalam kenyataan tersebut, Assaffal turut mengemukakan beberapa cadangan bagi mengembalikan keseimbangan kuasa MA63 dan memperkukuhkan autonomi Sabah dalam hal imigresen dan keselamatan sempadan.
Menurut beliau, tuntutan utama Sabah mestilah melibatkan restorasi penuh teks asal Akta Imigresen 1963.
Katanya, pindaan-pindaan terdahulu khususnya melalui Act A985 (1997) dan Act A1154 (2002) telah secara sistematik memindahkan kuasa pelantikan dan arahan daripada peringkat negeri kepada Menteri Dalam Negeri Persekutuan.
Beliau berkata pindaan tersebut telah mengurangkan peranan eksekutif Ketua Menteri Sabah yang dijamin dalam Rang Undang-Undang 1963 dan semua pindaan yang mengambil alih kuasa negeri wajar dikaji semula.
Selain itu, beliau turut mencadangkan supaya pelantikan Pengarah Imigresen Sabah dibuat secara bersama antara Kerajaan Negeri Sabah dan Kementerian Dalam Negeri sebagai langkah peralihan ke arah restorasi penuh kuasa negeri.
Menurut beliau, Sabah mesti mempunyai suara dalam menentukan individu yang mentadbir pintu masuk wilayah negeri supaya pegawai berkenaan mempunyai tanggungjawab perlembagaan terus kepada Pihak Berkuasa Negeri.
Dalam masa sama, Assaffal turut mencadangkan penubuhan Majlis Keselamatan Sempadan Sabah yang dipengerusikan oleh Ketua Menteri Sabah bagi menyelaras fungsi imigresen, ESSCOM, Polis Diraja Malaysia dan agensi berkaitan.
Katanya, langkah tersebut akan membuktikan bahawa Sabah mampu mengurus keselamatan wilayah sendiri tanpa perlu terlalu bergantung kepada agensi pusat baharu.
Beliau turut menegaskan bahawa kewujudan Akta 860 membuktikan Jabatan Imigresen Sabah sebenarnya perlu diperkasakan dan bukannya diketepikan.
Sehubungan itu, beliau menuntut supaya aset kritikal seperti radar pantai, dron pemantauan, bot peronda laju dan teknologi biometrik moden diberikan terus kepada Jabatan Imigresen Sabah.
Menurut beliau, pemerkasaan aset dan teknologi jauh lebih berkesan berbanding penubuhan lapisan agensi Persekutuan baharu yang hanya menambahkan birokrasi operasi.
Assaffal turut mencadangkan supaya pengambilan anak Sabah diberikan keutamaan dalam penguatkuasaan sempadan kerana mereka lebih memahami keadaan tempatan dan sensitiviti kawasan.
Selain itu, beliau turut mencadangkan pembentangan satu Kertas Putih berkaitan pendatang asing tanpa izin (PATI) dan keselamatan sempadan bagi menilai impak lambakan warga asing terhadap ekonomi rakyat Sabah termasuk tekanan terhadap kadar gaji, peluang pekerjaan serta kemudahan kesihatan dan pendidikan.
Dalam kenyataan sama, beliau turut menggesa supaya Jawatankuasa Pilihan Khas DUN Sabah mengenai MA63 dan Keselamatan Sempadan diwujudkan.
Katanya, isu autonomi Sabah tidak boleh diselesaikan hanya di peringkat eksekutif semata-mata tetapi perlu dibahaskan secara berterusan di Dewan Undangan Negeri kerana ia melibatkan suara rasmi rakyat Sabah.
Sebagai penutup, Assaffal menyeru semua ADUN Sabah tanpa mengira parti supaya berdiri bersama mempertahankan autonomi imigresen Sabah demi memastikan maruah dan hak Sabah dalam Persekutuan Malaysia terus dipelihara seperti yang dijanjikan sejak tahun 1963.