KENYATAAN MEDIA: 6 Mac 2026 - Saya menegaskan rasa kecewa dan serius terhadap tindakan Kerajaan Persekutuan yang memfailkan Notis Usul di Mahkamah bagi memohon penangguhan pelaksanaan Perintah Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu bertarikh berhubung tuntutan Geran Khas 40% hasil Sabah.
Tindakan ini jelas menimbulkan persoalan keikhlasan kerajaan dalam menunaikan hak Sabah, walaupun sebelum ini kerajaan menegaskan bahawa rayuan hanyalah terhadap alasan penghakiman, bukan untuk menangguhkan hak Sabah. Hak Sabah terhadap 40% hasil negeri, yang termaktub di bawah Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan, tidak boleh dipermainkan atau ditangguh secara senyap-senyap.
Perkara sepenting ini seharusnya dibincangkan terlebih dahulu dengan Kerajaan Negeri Sabah dan dimaklumkan secara terbuka kepada rakyat negeri ini. Tindakan memfailkan permohonan penangguhan tanpa penjelasan hanya menimbulkan kekeliruan, kekecewaan, dan ketidakpercayaan rakyat. Hak 40% ini bukan isu baharu; rakyat Sabah telah menunggu sejak 1974 untuk melihat hak ini dilaksanakan sepenuhnya.
Rakyat Sabah menuntut keadilan dan pelaksanaan hak mereka seperti yang telah dijanjikan dalam Perlembagaan dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). Tidak ada ruang untuk penangguhan berterusan.
Dengan ini, saya menegaskan agar Kerajaan Negeri Sabah segera mengambil tindakan tegas:
1. Mengeluarkan Pendirian Bersama (Bipartisan Stand)
Kerajaan Negeri bersama semua ADUN, termasuk pembangkang, perlu mengetepikan politik perbezaan dan mengeluarkan kenyataan tegas mempertahankan hak Sabah di bawah Perlembagaan Persekutuan.
2. Menyokong Tindakan Undang-Undang Berkaitan
Kerajaan Negeri harus mempertimbangkan untuk menjadi pihak berkepentingan (intervener) atau memberikan sokongan rasmi kepada usaha undang-undang yang mempertahankan hak Sabah. Langkah ini penting supaya hak Sabah dibela secara rasmi di mahkamah dan tidak terjejas oleh usaha penangguhan oleh Kerajaan Persekutuan.
3. Memberi Penerangan Terbuka kepada Rakyat Sabah
Kerajaan Negeri perlu telus dan jelas dalam memaklumkan rakyat mengenai perkembangan isu ini supaya rakyat tidak dikelirukan oleh spekulasi atau tindakan senyap pihak lain.
4. Menubuhkan Jawatankuasa Khas DUN Mengenai Hak Sabah
Satu jawatankuasa khas yang merangkumi wakil kerajaan dan pembangkang perlu ditubuhkan bagi memantau isu hak kewangan Sabah, pelaksanaan Geran Khas 40%, dan perkara berkaitan MA63.
Langkah-langkah ini bukan soal politik, tetapi perjuangan rakyat Sabah untuk hak dan keadilan yang telah termaktub dalam perlembagaan. Rakyat Sabah menuntut hak mereka dihormati, bukan ditangguh atau dipermainkan.
YB Tham Yun Fook
Ahli Dewan Undangan Negeri Likas