KENINGAU: Kehadiran Presiden Parti Warisan, Shafie Apdal ke Majlis Perasmian Pesta Kaamatan Peringkat Daerah Keningau 2026 hari ini mencuri perhatian ramai sekali gus memeriahkan lagi sambutan penuh tradisi dan budaya masyarakat Sabah itu.
Beliau hadir atas jemputan Jeffrey Kitingan bagi meraikan sambutan Kaamatan bersama masyarakat pelbagai kaum di Dewan Masyarakat Keningau.
Dalam ucapannya, Jeffrey berkata kehadiran bekas Ketua Menteri Sabah itu mencerminkan semangat perpaduan yang perlu terus diperkukuhkan dalam kalangan rakyat pelbagai kaum dan latar belakang di negeri ini.
“Ke hadiran bekas Ketua Menteri Sabah Datuk Shafie Apdal adalah untuk mencerminkan perpaduan negara,” katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian sambutan berkenaan.
Dalam perkongsian di laman Facebook rasminya pula, Shafie menzahirkan penghargaan kepada Jeffrey atas jemputan menghadiri sambutan tersebut.
Menurut beliau, Kaamatan sentiasa menjadi ruang untuk rakyat Sabah berkumpul, bertemu sahabat lama serta meraikan budaya dan tradisi yang menyatukan rakyat tanpa mengira latar belakang.
“Suasana yang cukup mesra dan meriah. Kotobian Tadau Tagayo Do Kaamatan,” katanya.
Majlis Perasmian Pesta Kaamatan Peringkat Daerah Keningau 2026 yang berlangsung pada Ahad itu turut dimeriahkan dengan pelbagai acara kebudayaan dan pertandingan tradisi termasuk Pertandingan Akhir Sugandoi Kaamatan, Randawi Tavantang Kaamatan, Sodop Unduk Ngadau, Persembahan Paluan Gong serta Pertandingan Tarian Tradisional Kontemporari.
Selain itu, pengunjung turut berpeluang menyertai sukan tradisi Kaamatan, mengunjungi pameran agensi kerajaan serta Karnival Jualan yang menampilkan pelbagai produk tempatan, kraftangan dan makanan tradisional.
Sambutan berkenaan sekali lagi membuktikan semangat perpaduan dan keharmonian rakyat Sabah yang terus utuh dalam meraikan kepelbagaian budaya serta warisan masyarakat pelbagai kaum di negeri ini.
Menuai Perpaduan, Meraikan Keharmonian