KOTA KINABALU, April 2026 – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Sibuga, YB Lisa Hassan Alban, menggesa Kerajaan Sabah agar lebih tegas mempertahankan hak negeri di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), khususnya berhubung tuntutan hasil 40 peratus yang menurut beliau merupakan hak perlembagaan rakyat Sabah.
Dalam ucapan perbahasan beliau di Dewan Undangan Negeri Sabah, Lisa berkata rakyat Sabah masih berdepan pelbagai masalah asas seperti bekalan air tidak stabil, jalan raya rosak dan kos sara hidup yang tinggi walaupun pelbagai agenda pembangunan dan pendigitalan diumumkan kerajaan.
Beliau menyifatkan keadaan itu sebagai bukti bahawa asas pembangunan negeri masih gagal diselesaikan walaupun kerajaan bercakap mengenai agenda “SMJ 2.0”, RMK-13 dan pendigitalan.
“Rakyat bukan boleh cukup makan berlaukkan data, bukan rakyat kenyang oleh pengumuman dasar,” katanya.
Menurut beliau, Sabah perlu kembali kepada prinsip asas pembentukan Malaysia sebagai sebuah perkongsian setara dan bukannya sekadar sebahagian daripada pentadbiran pusat.
Katanya, hak Sabah termaktub jelas dalam Perlembagaan Persekutuan, Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) 1962 dan Suruhanjaya Cobbold, selain Article VIII MA63 yang menurutnya merupakan perintah perlembagaan wajib dilaksanakan.
Lisa turut mempersoalkan kelewatan penyelesaian isu MA63 selepas kerajaan sebelum ini menjanjikan 17 isu utama akan diselesaikan dalam tempoh tiga tahun.
“Sekarang sudah April 2026 tetapi papan pemuka MA63 masih menunjukkan hanya 13 isu diselesaikan sedangkan lebih 50 isu perlu ditangani termasuk empat isu petroleum,” katanya.
Dalam masa sama, beliau mendakwa terdapat cubaan mengubah asas pengiraan hasil 40 peratus Sabah yang sepatutnya berpandukan garis dasar tahun 1963.
Beliau menyifatkan tindakan tersebut sebagai cubaan “mengalih tiang gol” dan mempersoalkan mengapa kerajaan negeri terus memberi “diskaun” kepada Putrajaya dalam tuntutan hasil negeri.
Lisa turut mengkritik beberapa pewartaan berkaitan geran khas Sabah termasuk Warta 119/2022, Warta 364/2023 dan Warta 271/2025 yang menurutnya menyebabkan hak Sabah terperangkap dalam konsep “fixed grant”.
Katanya, tindakan itu menghina martabat Sabah sebagai rakan setara dalam pembentukan Malaysia.
“Fixed Grant bertindak sebagai siling buatan kepada sebuah negeri yang sebenarnya layak memiliki seluruh langit,” katanya.
Beliau juga mengaitkan kegagalan mempertahankan hasil Sabah dengan masalah infrastruktur yang dihadapi rakyat di kawasan Sungai Sibuga.
Antara kawasan yang disebut termasuk Sungai Kayu, Batu Putih, Kampung Tinusa 2, Khong Lok dan PPR Batu Putih yang menurut beliau masih bergelut dengan masalah bekalan air, jalan raya sempit dan risiko kebakaran akibat keadaan infrastruktur daif.
Lisa berkata tragedi kebakaran besar di Kampung Bahagia, Sekong baru-baru ini perlu dijadikan pengajaran, khususnya bagi kawasan padat seperti Kampung Tinusa 2 yang mempunyai ribuan rumah dengan jalan sempit dan jambatan uzur.
Beliau turut membangkitkan masalah kesesakan lalu lintas di Taman Airport dan laluan keluar masuk Kampung Tinusa 2 serta keadaan jalan rosak di Taman Merpati dan jambatan uzur di Pulau Nunuyan.
Selain itu, beliau berkata inflasi dan kekurangan peluang pekerjaan tempatan terus menekan kehidupan rakyat Sabah.
Menurutnya, rakyat Sabah bukan sahaja “terperangkap dalam kemiskinan”, malah masa depan generasi muda turut terjejas apabila hak hasil negeri terus tertangguh.
Dalam ucapannya, beliau turut menggesa kerajaan negeri menggunakan peruntukan Artikel 112D(6) Perlembagaan Persekutuan bagi melantik Penilai Bebas berhubung pertikaian hasil negeri.
Lisa menggesa kerajaan menolak sebarang penangguhan berkaitan tuntutan hasil 40 peratus Sabah dan mendesak pelaksanaan segera formula tersebut berdasarkan garis dasar tahun 1963.
“Hak jangan dipolitikkan. Tegakkan janji, ambil balik hak Sabah,” katanya.