KOTA KINABALU, 28 April 2026 – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Usukan, YB Isnaraissah Munirah Majilis menggesa kerajaan negeri mempercepat penyelesaian isu infrastruktur asas di Sabah selain memastikan manfaat pelaburan besar benar-benar mengalir kepada rakyat tempatan.
Ketika membahaskan Ucapan Dasar Kerajaan oleh Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sabah di Dewan Undangan Negeri Sabah hari ini, beliau berkata angka pelaburan bernilai RM7.6 bilion dalam sektor pembuatan perlu diperincikan agar rakyat memahami impak sebenar kepada ekonomi negeri.
Menurut beliau, persoalan utama ialah sejauh mana pelaburan tersebut melibatkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan termasuk sektor pemprosesan makanan dan hiliran kayu.
Beliau turut meminta kerajaan menjelaskan nilai pelaburan sebenar yang telah dibelanjakan di Sabah setakat April 2026 serta peratusan jawatan pengurusan dan teknikal tinggi yang diberikan kepada anak Sabah.
Dalam masa sama, beliau membangkitkan isu penguasaan sektor perniagaan oleh warga asing khususnya warga Pakistan yang didakwa semakin meluas di beberapa daerah termasuk Kota Belud dan Tenghilan.
Katanya, situasi itu bukan sekadar persaingan perniagaan biasa tetapi melibatkan soal kedaulatan ekonomi tempatan yang boleh menjejaskan peluang usahawan Sabah untuk berkembang.
Beliau mendakwa terdapat premis perniagaan yang dimiliki rakyat tempatan tetapi diurus sepenuhnya oleh warga asing selain wujud isu pembayaran gaji minimum, penggunaan sistem e-invois dan penjualan barang kawalan.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan operasi bersepadu melibatkan Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP), pejabat daerah dan Jabatan Imigresen bagi membanteras amalan “Ali Baba” dalam pemilikan lesen perniagaan.
Beliau juga mencadangkan kerajaan mewujudkan zon atau kategori perniagaan tertentu yang diharamkan sepenuhnya untuk penglibatan warga asing.
Dalam ucapannya, ADUN Usukan turut menyentuh isu kenaikan cukai pintu di Kota Belud yang menurutnya tidak boleh disamakan dengan bandar besar seperti Kota Kinabalu, Sandakan dan Tawau kerana perbezaan kuasa beli masyarakat.
Beliau berharap Majlis Daerah Kota Belud menilai semula kadar cukai tersebut dan melaksanakannya secara berperingkat jika kenaikan perlu dibuat.
Mengulas kesan konflik antarabangsa terhadap Sabah, beliau berkata negeri itu berdepan risiko lebih besar berbanding negeri lain kerana kebergantungan tinggi terhadap import makanan, diesel dan ketiadaan pusat penyimpanan minyak.
Menurutnya, Sabah mengimport kira-kira 80 peratus beras, 90 peratus daging, 50 peratus sayur-sayuran dan 70 peratus baja, sekali gus menjadikan negeri itu sangat terdedah kepada ketidakstabilan global.
Beliau menegaskan kerajaan perlu memberi keutamaan kepada keperluan asas seperti jalan raya, bekalan air, elektrik dan telekomunikasi selain memperkukuh jaminan keselamatan makanan dan tenaga.
Dalam pada itu, beliau meminta penjelasan mengenai status beberapa projek infrastruktur di Kota Belud termasuk pemasangan lampu di Bukit Kelawat dan pelbagai projek jalan kampung yang didakwa masih tertangguh.
Beliau turut mempersoalkan status cadangan pembinaan baharu Pejabat Daerah Kota Belud serta perkembangan Projek Penempatan Semula Nelayan (PSN) Kampung Bira-Biraan yang dikatakan belum menunjukkan kemajuan selepas majlis pecah tanah dilakukan lapan bulan lalu.
Selain itu, beliau meminta kerajaan negeri memberi keutamaan terhadap projek pendalaman Muara Sungai Abai bagi membantu nelayan yang terjejas selain menangani masalah hakisan di Kampung Pantai Emas dan Pulau Mantanani.
Dalam isu kemiskinan pula, beliau mempersoalkan ketelusan penggunaan bayaran tunai hasil petroleum yang diterima kerajaan negeri serta tahap penglibatan kerajaan negeri dalam program sosial syarikat minyak seperti PETRONAS, Shell dan ConocoPhillips.
Menutup perbahasan, beliau menyeru semua pihak termasuk wakil rakyat, penjawat awam dan rakyat Sabah supaya mengubah budaya kerja dan meninggalkan sikap terlalu selesa atau “business as usual”.
Beliau turut menggesa semua pemimpin Sabah bersatu dalam isu melibatkan kepentingan negeri termasuk MA63, sempadan dan penambahan kerusi Parlimen tanpa mengira perbezaan politik.
Katanya, perkara berkaitan hak Sabah perlu dibincangkan bersama di Dewan Undangan Negeri sebelum sebarang keputusan dibuat di peringkat Persekutuan.