KOTA KINABALU, 27 April 2026 – Isu kenaikan kos sara hidup, kelewatan projek pembangunan serta kelemahan infrastruktur kritikal menjadi antara fokus utama yang dibangkitkan oleh ADUN Karamunting, YB Alex Wong dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Penggal Kedua.
Dalam perbahasannya, beliau menegaskan bahawa rakyat Sabah terus berdepan tekanan harga yang tidak seimbang berbanding Semenanjung Malaysia, khususnya melibatkan barangan asas dan kos pembinaan.
Menurut beliau, harga bahan binaan seperti thinner menunjukkan peningkatan mendadak dalam tempoh singkat, manakala harga telur bagi gred yang sama jauh lebih tinggi di Sabah berbanding Semenanjung. Situasi ini, katanya, menimbulkan persoalan mengenai keberkesanan mekanisme kawalan harga kerajaan.
“Rakyat Sabah terus dipaksa membayar harga lebih tinggi. Apakah kegagalan dalam dasar pengangkutan dan subsidi sehingga perkara ini berlarutan?” katanya.
Beliau turut menekankan bahawa kos logistik menjadi faktor utama kenaikan harga apabila kadar sewa lori 10 tan dari Kota Kinabalu ke Sandakan meningkat dengan ketara dalam tempoh tiga bulan. Sehubungan itu, beliau mempersoalkan bagaimana kerajaan boleh mendakwa Sabah tidak terjejas dengan kenaikan harga diesel di Semenanjung sedangkan kesan rantaian jelas dirasai di negeri ini.
Selain itu, isu Projek Pasar Tanah Merah turut mendapat perhatian apabila kemajuan pembinaan dilihat perlahan dengan jumlah pekerja yang minimum di tapak. Keadaan ini menimbulkan kebimbangan sama ada projek tersebut mampu disiapkan mengikut jadual asal tanpa lanjutan masa (EOT).
Beliau berkata, kelewatan projek itu telah memberi kesan langsung kepada peniaga kecil yang kini terpaksa beroperasi di pasar sementara yang tidak mempunyai kemudahan asas.
“Peniaga terjejas dari segi pendapatan harian. Apakah langkah segera kerajaan untuk mengurangkan penderitaan mereka sementara menunggu projek siap?” soal beliau.
Dalam masa sama, isu keselamatan awam turut dibangkitkan melalui masalah lampu jalan dan keadaan Jalan Cecily yang disifatkan semakin membimbangkan. Lebih 70 peratus permukaan jalan dilaporkan rosak dengan keadaan berlubang dan tidak rata, selain ketiadaan sistem pencahayaan yang mencukupi.
Keadaan ini menjadi lebih berisiko memandangkan lokasi jalan yang berada di kawasan berbukit, sekali gus meningkatkan potensi kemalangan dan jenayah.
Beliau menuntut penjelasan kerajaan mengenai jadual pembaikan lampu jalan serta pelan naik taraf menyeluruh bagi Jalan Cecily, termasuk jumlah peruntukan yang disediakan.
Sementara itu, YB Alex Wong turut membangkitkan isu Pelabuhan Sandakan yang disifatkan sebagai nadi utama ekonomi negeri tetapi masih bergantung kepada peralatan lama.
Menurutnya, penggunaan kren yang telah beroperasi sehingga 20 tahun menimbulkan risiko besar terhadap kelancaran operasi pelabuhan. Insiden kegagalan kren pada Januari 2026 yang mengganggu operasi telah menyebabkan kelewatan penghantaran dan kerugian ekonomi.
“Bagaimana kita mahu menarik pelabur jika kemudahan asas seperti kren masih bergantung kepada peralatan berusia puluhan tahun?” katanya.
Beliau menggesa kerajaan agar mengambil tindakan segera untuk menaik taraf kemudahan pelabuhan bagi memastikan kelancaran logistik, menarik pelaburan serta meningkatkan daya saing ekonomi Sabah.
Perbahasan tersebut mencerminkan kebimbangan berterusan terhadap isu asas yang memberi kesan langsung kepada kehidupan rakyat, khususnya melibatkan kos sara hidup, peluang ekonomi dan keselamatan awam di kawasan Karamunting.