KOTA KINABALU — ADUN N19 Likas, Tham Yun Fook hari ini mengecam sekeras-kerasnya insiden seorang pelajar perempuan berusia 13 tahun yang dipercayai dipukul oleh lima pelajar perempuan lain selepas video kejadian tersebut tular di media sosial dan mengundang kebimbangan masyarakat.
Beliau berkata berdasarkan rakaman video dan siasatan awal polis, kejadian tersebut bukan lagi sekadar perselisihan biasa antara pelajar, tetapi merupakan satu kes buli serius yang melibatkan serangan berkumpulan, ugutan dan penghinaan terhadap mangsa.
Menurut beliau, lebih membimbangkan apabila mangsa turut didakwa diugut supaya tidak memaklumkan kejadian tersebut kepada keluarga atau pihak polis.
“Tindakan seperti ini jelas melangkaui isu disiplin sekolah dan menjadi cabaran terhadap undang-undang serta nilai moral masyarakat,” katanya.
Tham berkata sekolah sepatutnya menjadi tempat yang selamat untuk pelajar belajar dan membesar, bukannya tempat yang menimbulkan ketakutan dalam kalangan pelajar.
Beliau turut menyuarakan kebimbangan bahawa insiden buli sejak kebelakangan ini semakin ganas, dilakukan secara berkumpulan dan berlaku secara terbuka sehingga menunjukkan bahawa mekanisme pencegahan, sistem kaunseling dan tindakan disiplin sedia ada tidak lagi mencukupi untuk membendung masalah tersebut secara berkesan.
Sehubungan itu, beliau menggesa Kementerian Pendidikan Malaysia supaya memandang serius isu keganasan di sekolah dan segera melaksanakan langkah yang lebih tegas serta menyeluruh bagi menangani budaya buli.
Antara langkah yang dicadangkan beliau termasuk memperkasakan mekanisme anti-buli dan prosedur penguatkuasaan di sekolah, mengenakan tindakan disiplin lebih tegas terhadap pelajar yang terlibat dalam keganasan, mewajibkan sesi kaunseling serta penglibatan ibu bapa, memperkukuhkan kerjasama antara pihak sekolah dan polis, memperhebat pendidikan moral dan kempen kesedaran anti-buli, serta memantau secara ketat penyalahgunaan kumpulan media sosial untuk tujuan membuli, mengugut atau merancang keganasan.
Dalam masa sama, beliau turut menyeru ibu bapa, pihak sekolah dan masyarakat supaya lebih peka terhadap keadaan emosi dan pergaulan anak-anak sebelum lebih banyak tragedi berlaku.
“Sebarang bentuk buli dan keganasan tidak boleh didiamkan atau dikompromi. Masyarakat mesti tegas mengatakan ‘tidak’ kepada keganasan di sekolah dan memastikan mangsa mendapat perlindungan serta sokongan yang sewajarnya,” katanya.
Beliau turut berharap pihak polis dapat menyelesaikan siasatan dengan segera dan mengambil tindakan undang-undang sewajarnya terhadap semua pihak terlibat demi menegakkan keadilan kepada mangsa serta memberi mesej jelas bahawa keganasan tidak akan diterima dalam masyarakat.