Pelantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM Baharu Perlu Menjadi Titik Permulaan Reformasi Institusi
Saya menyambut baik pelantikan Datuk Abdul Halim Aman sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baharu. Dengan latar belakang beliau sebagai bekas hakim Mahkamah Tinggi, pelantikan ini bukan sekadar pertukaran kepimpinan, tetapi mesti menjadi titik permulaan kepada reformasi institusi yang lebih menyeluruh, khususnya dalam mengembalikan keyakinan rakyat terhadap kebebasan, ketelusan dan keberanian SPRM dalam menjalankan tanggungjawabnya.
Pengalaman luas beliau dalam badan kehakiman diharap mampu membawa nafas baharu kepada SPRM, khususnya dalam memperteguh tadbir urus, meningkatkan profesionalisme, dan memastikan setiap siasatan dilaksanakan tanpa takut atau pilih kasih.
Dalam masa sama, walaupun Tan Sri Azam Baki tidak disambung perkhidmatannya, isu-isu yang timbul sepanjang tempoh kepimpinan beliau tidak boleh dianggap selesai begitu sahaja. Dakwaan berkaitan pelanggaran Perintah Am, isu pemilikan saham yang pernah dibangkitkan, serta dakwaan hubungan dengan unsur “mafia korporat” yang menjadi perhatian awam, wajar terus diberikan perhatian serius dan, jika terdapat asas, terus disiasat secara bebas, telus dan menyeluruh.
Perubahan kepimpinan tidak seharusnya menjadi alasan untuk menutup atau melupakan persoalan yang masih menuntut jawapan. Prinsip akauntabiliti menuntut supaya sebarang dakwaan yang menyentuh integriti institusi dan kepentingan awam disiasat hingga tuntas.
Saya berharap di bawah kepimpinan baharu, SPRM akan terus menunjukkan komitmen bahawa tiada siapa mengatasi undang-undang, dan agenda memerangi rasuah akan dilaksanakan dengan lebih berani, bebas dan berwibawa demi kepentingan negara.
Rakyat sedang memerhati. Ini masanya untuk membuktikan bahawa perjuangan menentang rasuah oleh YAB Perdana Menteri bukan sekadar slogan, tetapi satu komitmen yang benar-benar dilaksanakan.
THAM YUN FOOK
ADUN N19 LIKAS