KOTA KINABALU: ADUN N.25 Kapayan, Chin Tek Ming mengambil maklum pengumuman Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor bahawa pelaksanaan Akta Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia 2024 (Akta 860 / AKPS) di Sabah ditangguhkan sementara menunggu jaminan lanjut berkaitan autonomi imigresen dan hak-hak khas Sabah.
Namun menurut beliau, penangguhan semata-mata tidak mencukupi kerana isu sebenar jauh lebih besar daripada sekadar mendapatkan jaminan pentadbiran atau perlindungan operasi daripada Kerajaan Persekutuan.
Katanya, isu teras melibatkan soal kesahan undang-undang dan perlembagaan berkaitan pelaksanaan Akta 860 di Sabah.
Beliau menegaskan bahawa Akta 860 tidak boleh sekadar ditangguhkan tetapi mesti ditolak secara terang-terangan kerana pelaksanaannya didakwa bercanggah dengan perlindungan perlembagaan Sabah di bawah Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Menurut Chin, autonomi imigresen Sabah merupakan jaminan perlembagaan yang dilindungi secara jelas di bawah Perkara 161E(4) Perlembagaan Persekutuan dibaca bersama Perkara 9(3).
Katanya, perlindungan tersebut diwujudkan bagi memastikan Sabah mengekalkan kuasa dan kawalan bermakna terhadap hal ehwal imigresen, kawalan kemasukan serta perlindungan integriti wilayah dan demografi negeri.
Beliau berkata mana-mana undang-undang Persekutuan yang secara langsung menjejaskan kepentingan khas atau kuasa autonomi Sabah tidak boleh dilaksanakan begitu sahaja tanpa mematuhi kerangka perlembagaan yang melindungi kedudukan khas Sabah.
Dalam kenyataan tersebut, Chin turut mempersoalkan ketiadaan sebarang penerimaan, kelulusan atau perbahasan di Dewan Undangan Negeri Sabah berkaitan pelaksanaan Akta 860 walaupun akta tersebut mempunyai implikasi langsung terhadap struktur imigresen Sabah dan kuasa penguatkuasaan negeri.
Beliau berkata perkara tersebut menimbulkan isu perlembagaan yang serius dan tidak boleh diselesaikan hanya melalui perbincangan pentadbiran atau jaminan politik.
Menurut beliau, pelaksanaan sesuatu undang-undang yang bercanggah dengan kehendak Perlembagaan boleh dianggap sebagai “void ab initio” atau terbatal sejak awal pelaksanaannya.
Katanya, perlindungan perlembagaan Sabah tidak boleh diketepikan melalui mekanisme pentadbiran, aturan eksekutif atau penyusunan semula operasi Persekutuan.
Beliau turut membangkitkan kebimbangan terhadap struktur operasi AKPS yang menurutnya mewujudkan risiko pengambilalihan kuasa Sabah secara beransur-ansur oleh Persekutuan.
Menurut beliau, walaupun Ketua Menteri sendiri mengakui bahawa Pihak Berkuasa Negeri hanya mempunyai kawalan melalui Pengarah Imigresen Sabah di bawah subseksyen 6(3) Akta 860, struktur keseluruhan operasi masih tertakluk kepada agensi Persekutuan yang berpangkalan di Putrajaya.
Katanya, keadaan tersebut menimbulkan risiko pertindihan kuasa, percanggahan arahan dan pencairan autonomi imigresen Sabah melalui struktur pentadbiran Persekutuan.
Beliau turut menegaskan bahawa Sabah tidak boleh bergantung semata-mata kepada janji politik atau goodwill apabila struktur institusi dan rantaian arahan masih dikawal di peringkat Persekutuan.
Menurut Chin, sejarah Sabah sendiri menunjukkan bahawa penghakisan kuasa negeri sering berlaku secara perlahan melalui proses pemusatan kuasa pentadbiran dan bukannya melalui pemansuhan kuasa secara terang-terangan.
Dalam masa sama, beliau berkata isu tersebut bukan soal tawar-menawar politik tetapi melibatkan hak undang-undang Sabah yang dijamin di bawah MA63 dan Perlembagaan Persekutuan.
Katanya, Sabah bukan meminta ihsan daripada Kerajaan Persekutuan tetapi mempertahankan hak-hak perlembagaan yang menjadi asas pembentukan Malaysia.
Sehubungan itu, beliau menggesa Kerajaan Negeri Sabah supaya mengambil pendirian tegas dengan menolak sebarang pelaksanaan Akta 860 yang menjejaskan autonomi imigresen Sabah, perlindungan perlembagaan serta kuasa negeri.
Tegas beliau, hak perlembagaan Sabah tidak boleh terus dicairkan secara beransur-ansur melalui mekanisme pentadbiran Persekutuan.
Beliau menegaskan bahawa kedudukan perlembagaan Sabah mesti dipertahankan secara sah di sisi undang-undang, tegas dan tanpa kompromi.