KOTA KINABALU — ADUN N.25 Kapayan, Chin Tek Ming hari ini menggesa Kerajaan Negeri Sabah menjelaskan secara telus status sebenar “penangguhan” pelaksanaan Akta Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia 2024 (Akta 860) di Sabah selepas Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) dilihat masih menjalankan operasi penguatkuasaan di negeri ini.
Beliau merujuk kepada laporan media bertarikh 26 Mei 2026 berkaitan operasi AKPS di Pelabuhan Sepanggar yang membawa kepada rampasan 14 kontena ayam sejuk beku yang didakwa diisytiharkan secara palsu sebagai kentang dan kacang peas.
Menurut beliau, beliau tidak pernah mempertikaikan keperluan penguatkuasaan terhadap kegiatan penyeludupan, pemalsuan deklarasi kastam, kemasukan barang tidak sah atau ancaman keselamatan sempadan. Sebaliknya, tindakan penguatkuasaan yang sah terhadap jenayah rentas sempadan sewajarnya dihargai dan dipuji.
Namun demikian, Chin berkata perkembangan terbaru tersebut menimbulkan persoalan serius berkaitan pengumuman terdahulu Ketua Menteri Sabah bahawa pelaksanaan Akta 860 di Sabah telah “ditangguhkan” sementara menunggu jaminan terhadap hak-hak khas Sabah dan autonomi imigresen negeri.
“Kerajaan Negeri Sabah kini mempunyai obligasi moral, politik dan perlembagaan untuk menjelaskan kepada rakyat Sabah apakah status sebenar ‘penangguhan’ tersebut,” katanya.
Beliau mempersoalkan sama ada penangguhan tersebut telah dilaksanakan secara rasmi melalui keputusan bersama Kerajaan Persekutuan, sama ada terdapat arahan rasmi atau moratorium pentadbiran berkaitan pelaksanaan AKPS di Sabah, ataupun pengumuman tersebut hanyalah kenyataan politik tanpa kesan substantif dari sudut pentadbiran dan perundangan.
Menurut Chin, persoalan tersebut menjadi semakin relevan apabila AKPS dilihat terus menjalankan operasi penguatkuasaan di Sabah seperti biasa.
Beliau turut berkata pengumuman “penangguhan” tersebut sebelum ini menerima pujian daripada beberapa pemimpin kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan sekutunya, seolah-olah Kerajaan Negeri telah berjaya mempertahankan autonomi Sabah daripada pelaksanaan Akta 860.
“Namun dengan perkembangan terbaru yang menunjukkan AKPS masih terus menjalankan operasi penguatkuasaan di Sabah, maka rakyat Sabah kini berhak mengetahui apakah pendirian pemimpin-pemimpin yang sebelum ini begitu pantas memuji pengumuman tersebut,” katanya.
Chin menegaskan bahawa isu utama yang dibangkitkan bukan berkaitan penguatkuasaan terhadap jenayah sempadan, tetapi mengenai pertindihan bidang kuasa, implikasi perlembagaan dan pemusatan kuasa Persekutuan ke atas bidang yang mempunyai perlindungan khas untuk Sabah di bawah MA63 dan Perlembagaan Persekutuan.
Beliau berkata fungsi penguatkuasaan yang kini dijalankan oleh AKPS sebenarnya telah lama berada di bawah bidang kuasa pelbagai agensi sedia ada termasuk Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Polis Marin, APMM, Jabatan Imigresen Malaysia, MAQIS dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar.
“Malah laporan operasi di Pelabuhan Sepanggar itu sendiri menunjukkan penglibatan pelbagai agensi sedia ada bersama AKPS. Ini menimbulkan persoalan sama ada AKPS benar-benar diwujudkan untuk meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan atau sekadar menambah satu lagi lapisan kawalan Persekutuan terhadap struktur penguatkuasaan sempadan Sabah,” katanya.
Beliau turut memberi amaran bahawa pertindihan struktur penguatkuasaan Persekutuan berisiko menghakis autonomi Sabah secara tidak langsung melalui pemusatan kuasa pentadbiran dan institusi.
Menurut beliau, Sabah mempunyai kedudukan khas dalam hal imigresen dan kawalan kemasukan yang dilindungi di bawah Perkara 161E Perlembagaan Persekutuan dan merupakan sebahagian daripada jaminan pembentukan Malaysia di bawah MA63.
“Hak tersebut bukan ihsan politik. Ia adalah hak perlembagaan yang mengikat,” tegasnya.
Sehubungan itu, Chin menggesa Kerajaan Negeri Sabah menyatakan secara jelas sama ada pelaksanaan AKPS benar-benar telah ditangguhkan secara rasmi atau sama ada agensi tersebut sebenarnya terus beroperasi sepenuhnya di Sabah tanpa sebarang perubahan substantif.
Beliau menegaskan bahawa hak-hak Sabah tidak boleh dipertahankan hanya melalui retorik politik atau pengumuman media semata-mata, sebaliknya mesti dipertahankan melalui pendirian undang-undang yang tegas, tindakan institusi yang nyata dan komitmen perlembagaan yang konsisten.