TERKINI
Datuk Mohd Azis Bin Jamman: Tuntut Pelaksanaan Segera Hak 40% Sabah Tanpa Tangguh
MA63 2 min baca 227 tontonan

Datuk Mohd Azis Bin Jamman: Tuntut Pelaksanaan Segera Hak 40% Sabah Tanpa Tangguh

Ringkasan

Kerajaan Persekutuan diminta segera laksanakan hak Sabah terhadap pulangan hasil 40% yang diiktiraf, tanpa sebarang penangguhan.

Baca dalam:
Admin
Admin
Salin URL mengikut bahasa

Laksanakan Hak 40% Sabah Tanpa Berlengah

Kenyataan Perdana Menteri bahawa Kerajaan Persekutuan tidak mempertikaikan hak Sabah terhadap pulangan hasil 40% seperti yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan dan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) harus disambut dengan satu tindakan yang jelas: pelaksanaan segera hak tersebut.

Perdana Menteri sendiri menyatakan bahawa komitmen terhadap 40% tersebut tidak dipertikaikan dan kerajaan tidak merayu terhadap isu hak itu. Jika demikian pendirian Kerajaan Persekutuan, maka persoalan yang timbul adalah mudah: mengapa pelaksanaannya masih ditangguhkan?

Mahkamah telah membuat keputusan yang jelas berhubung perkara ini. Kerajaan Persekutuan juga menyatakan bahawa mereka tidak membantah hak Sabah terhadap pulangan hasil 40%. Dalam keadaan ini, tiada sebab yang munasabah untuk melengah-lengahkan pelaksanaan hak yang telah diiktiraf.

Alasan bahawa penangguhan dimohon bagi mendapatkan penjelasan terhadap kenyataan dalam penghakiman yang kononnya menyentuh atau mempersoalkan peranan pemimpin terdahulu tidak sepatutnya menjadi penghalang kepada pelaksanaan hak Sabah. Jika terdapat perkara dalam penghakiman yang ingin diperbetulkan atau diperjelaskan, itu adalah hak Kerajaan Persekutuan untuk memohon kepada mahkamah.

Namun isu pokok dalam perkara ini adalah hak Sabah terhadap pulangan 40%. Memandangkan Kerajaan Persekutuan sendiri mengakui dan tidak mempertikaikan hak tersebut, maka langkah yang wajar adalah melaksanakan pembayaran itu tanpa berlengah.

Keadaan ini ibarat seseorang yang mengakui kereta itu milik orang lain, tetapi masih memegang kuncinya kerana mahu berbincang dahulu tentang bagaimana manual kereta itu ditulis. Hak pemilik kereta itu tidak sepatutnya ditangguhkan hanya kerana perkara lain yang tidak menyentuh pokok hak tersebut.

Rakyat Sabah telah menunggu terlalu lama. Hak yang telah diiktiraf tidak seharusnya hanya berhenti pada kenyataan atau jaminan semata-mata.

Jika benar Kerajaan Persekutuan ikhlas menghormati semangat MA63 dan hak Sabah, maka ia harus dibuktikan melalui tindakan. Hak 40% itu perlu dilaksanakan segera.

Janji mesti disusuli dengan tindakan.

— Tamat —

Datuk Mohd Azis Bin Jamman
Ketua Penerangan
Parti Warisan (WARISAN)

Jumpa kesilapan (terjemahan, makna atau ejaan)? Bantu kami dengan melaporkan.

Admin
Penulis

Admin

Admin Warisan Portal bertanggungjawab mengurus dan menerbitkan kenyataan media, artikel serta maklumat rasmi Parti Warisan kepada orang awam.

Artikel Berkaitan

Komen (0)

Jadilah yang pertama memberikan komen!

Sila log masuk untuk meninggalkan komen.

Log Masuk