Lahad Datu, 4 Februari 2026 – Aduan berkaitan dua tiang elektrik milik Sabah Electricity yang hampir tumbang di kawasan PPRT Kampung Sabah Baru telah diambil tindakan segera oleh pihak berkuasa berkaitan.
Aduan tersebut telah dikemukakan oleh seorang penduduk setempat, Cikgu Azman Abdul Mutalib, pada hari semalam. Susulan daripada aduan itu, tindakan pantas telah diambil hari ini apabila pegawai bertanggungjawab, Saudara Kamis Burhan, turun ke lokasi kejadian pada waktu pagi bagi meninjau keadaan sebenar serta menjalankan semakan awal di lapangan.
Hasil tinjauan mendapati dua tiang elektrik di kawasan berkenaan mengalami kerosakan serius akibat reput pada bahagian besi sokongan yang ditanam di tanah laut serta terdedah kepada air masin dalam tempoh yang lama.
Perkara tersebut telah dimaklumkan dengan segera kepada Ir. Ts. Mahadir bin Mohd Tazrin, Pengurus Sabah Electricity Zon Tenggara, Lahad Datu. Susulan itu, pihak Sabah Electricity bersama kontraktor yang dilantik telah hadir ke tapak kejadian untuk tindakan lanjut.
Pihak Sabah Electricity memaklumkan bahawa kedua-dua tiang elektrik berkenaan akan diganti secepat mungkin demi menjamin keselamatan serta ketenteraman penduduk di kawasan sekitar.
Langkah proaktif ini mencerminkan komitmen pihak terlibat dalam memastikan aspek keselamatan awam sentiasa diberi keutamaan.