KOTA KINABALU, 27 April 2026 – ADUN Tanjung Aru, Datuk Junz Wong membangkitkan beberapa isu utama melibatkan kesejahteraan rakyat dan pembangunan infrastruktur dalam sidang Dewan Undangan Negeri Sabah.
Antara isu paling mendesak ialah aliran air kotor ke laut di Pantai Tanjung Aru, yang disifatkan menjejaskan imej destinasi pelancongan utama negeri. Beliau menggesa kerajaan menyediakan penyelesaian menyeluruh dan bersepadu melibatkan semua agensi berkaitan.
Selain itu, beliau sekali lagi menekankan masalah kesesakan lalu lintas di kawasan Pantai Tanjung Aru, khususnya pada hujung minggu dan musim cuti. Antara cadangan dikemukakan termasuk pelaksanaan pelan trafik sistematik, penyediaan parkir berpusat serta penambahbaikan pengangkutan awam.
Dalam isu pembangunan Pulau Gaya, Junz Wong mencadangkan agar peruntukan RM300,000 untuk pembaikan jambatan Kampung Selamat dipindahkan ke projek lebih mendesak, termasuk pembinaan jeti baharu dan pembaikan kemudahan lain. Beliau turut menegaskan keperluan pembinaan jeti penumpang yang lebih selamat dan tersusun bagi meningkatkan kesejahteraan penduduk serta merancakkan ekonomi setempat.
Beliau juga mempersoalkan rasional kewujudan dua jeti pelancongan berhampiran di Kota Kinabalu dan mencadangkan agar jeti DBKK dibuka kepada orang awam memandangkan ia dibina menggunakan dana kerajaan.
Di kawasan pekan Tanjung Aru, isu kekurangan parkir turut diketengahkan, termasuk cadangan mengkaji semula penggunaan lot parkir teksi bagi kegunaan awam.
Dalam sektor pendidikan, beliau menyorot kekurangan infrastruktur Sekolah Agama Negeri, termasuk bangunan uzur dan kekurangan bilik darjah, serta menggesa peruntukan khas dan pelan pembangunan jangka panjang.
Sementara itu, Junz Wong mengkritik kenaikan tarif elektrik sebanyak 15% di Sabah yang disifatkan membebankan rakyat ketika gangguan bekalan masih berlaku. Malah, beliau mendakwa peningkatan sebenar bil boleh mencecah sehingga 40% dan menuntut ketelusan serta akauntabiliti daripada kerajaan negeri.
Beliau turut membandingkan pendekatan Sabah dengan Sarawak yang memberikan diskaun bil elektrik kepada pengguna domestik, sambil mempersoalkan keutamaan dasar kerajaan negeri.
Dalam perkembangan lain, beliau membangkitkan isu sekatan terhadap industri ikan koi dan ikan emas, yang didakwa menjejaskan penternak akuarium di Sabah.
Bagi sektor ekonomi, beliau memberi amaran bahawa Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) kini terhimpit akibat kos operasi yang meningkat, termasuk tarif elektrik, SST dan pelaksanaan e-invois.
Mengulas risiko global, beliau turut menyoal tahap kesiapsiagaan Sabah menghadapi gangguan bekalan tenaga dan bahan api, susulan ketegangan geopolitik antarabangsa.
Mengakhiri perbahasan, beliau menegaskan keperluan perancangan holistik dan keutamaan kepada rakyat agar tiada komuniti tercicir, termasuk di kawasan pulau dan pedalaman.