KOTA KINABALU: Parti Warisan menegaskan bahawa masalah bekalan air yang berterusan serta keadaan jalan raya yang semakin membimbangkan di beberapa kawasan membuktikan rakyat Sabah masih berdepan dengan kegagalan penyediaan kemudahan asas yang sepatutnya menjadi keutamaan kerajaan.
Presidennya, Mohd Shafie Apdal berkata, keadaan yang berlaku di Bandar Leila, Sandakan, apabila penduduk terpaksa mengangkut air menggunakan baldi dan tong untuk kegunaan harian, serta kerosakan jalan di kawasan Gum-Gum yang menimbulkan risiko keselamatan kepada pengguna jalan raya, tidak seharusnya berlaku pada masa kini.
Menurut beliau, isu-isu berkenaan bukanlah perkara baharu, malah telah berulang kali dibangkitkan oleh rakyat namun masih belum menemui penyelesaian yang menyeluruh dan berkesan.
“Rakyat tidak meminta sesuatu yang luar biasa. Mereka hanya mahukan bekalan air yang stabil, jalan raya yang selamat dan perkhidmatan asas yang berfungsi dengan baik. Ini adalah hak rakyat yang perlu dipenuhi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kegagalan menyelesaikan masalah asas tersebut bukan sahaja menjejaskan kesejahteraan penduduk, malah memberi kesan kepada aktiviti ekonomi dan pembangunan setempat.
Shafie turut mengingatkan bahawa kerajaan perlu lebih fokus kepada keperluan sebenar rakyat berbanding terus mengumumkan pelbagai perancangan yang tidak memberi impak langsung kepada kehidupan harian masyarakat.
“Selagi rakyat masih terpaksa beratur mendapatkan air dan menggunakan jalan yang rosak serta berbahaya, maka jelas masih banyak yang perlu diperbaiki dalam aspek penyampaian perkhidmatan kepada rakyat,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa penyelesaian segera dan tindakan yang berkesan perlu dilaksanakan agar masalah yang sama tidak terus berulang sehingga membebankan rakyat Sabah.
Keadaan jalan raya yang rosak teruk Masalah bekalan air yang teruk.
Jumpa kesilapan (terjemahan, makna atau ejaan)? Bantu kami dengan melaporkan.